Arsene Wenger mempertahankan pemainnya, Mesut Ozil, selepas tewas 1-0 di tangan Stoke City dan mengharapkan agar Alexis Sanchez kembali menyertai pasukan apabila bertemu Liverpool, minggu depan.

Prestasi serta tahap disiplin Ozil dipersoalkan oleh bekas pemain Arsenal, Martin Keown, serta Steven Gerrard ketika perlawanan menentang pasukan kendalian Mark Hughes itu, namun Wenger berasa bintang Jerman itu tidak harus dipersalahkan.

Dia juga percaya bahawa Sanchez, yang turut mempunyai baki kontrak setahun sama seperti Ozil, akan kembali memperkuatkan pasukan ketika bertandang ke Anfield, Ahad depan.

“Saya rasa dia (Ozil) cuba mengatasinya.

“Sukar untuk menanggungnya seorang diri. Kami meraih banyak peluang dan saya rasa tidak perlu menyalahkannya sahaja,” ujar Wenger.

“Jika segala-galanyanya tiada masalah, Sanchez akan kembali dalam perlawanan seterusnya.”

Wenger juga menyifatkan gol jaringan penyerang, Alexandre Lacazette, pada babak kedua sepatutnya diambil kira kerana jelas pemain Perancis itu tidak berada dalam posisi ofsaid.

“Saya baru sahaja menontonnya, 100 peratus tidak ofsaid.

“Tetapi kami harus menerimanya dan tuah tidak berpihak kepada kami,” katanya.