LIVERPOOL 5 WATFORD 0

Mohamed Salah membuktikan dirinya selaku penggempur paling digeruni di England apabila menyumbat empat gol untuk Liverpool menewaskan Watford 5-0 dalam saingan liga di Anfield, awal pagi tadi.

Bintang skuad kebangsaan Mesir itu berkongsi kedudukan senarai penjaring bersama Harry Kane dari Tottenham Hotspur dengan 24 gol sebelum aksi ke-31 musim ini dan dia hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai jaringan di depan penyokong sendiri.

Selepas melepasi halangan Miguel Britos, Salah tenang mengawal bola sebelum melepaskan tendangan kaki kanan menewaskan penjaga gol, Orestis Karnezis, untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Liverpool dilihat mendominasi hampir keseluruhan perlawanan dalam babak pertama, namun terpaksa menunggu dua minit sebelum waktu rehat untuk menambah gol kedua, juga menerusi Salah yang menyempurnakan hantaran lintang Andrew Robertson dari sebelah kiri.

Gol itu juga merupakan jaringan ke-34 buat Salah dalam semua kejohanan musim ini, sekali gus memecahkan rekod Fernando Torres (33 gol) pada musim 2007/08 untuk gol terbanyak dalam musim pertama bersama The Kop.

Bersambung separuh masa kedua, Liverpool tidak menunggu lama untuk terus melebarkan kedudukan, kali ini Salah meletakkkan nama dalam senarai bantuan gol apabila bola lorongannya dikuis masuk oleh penyerang, Roberto Firmino, pada minit ke-48.

Bekas pemain Chelsea dan AS Roma itu akhirnya menyempurnakan hatrik pertamanya buat skuad kendalian Jurgen Klopp pada minit ke-77 selepas menyudahkan gerakan yang bermula daripada Sadio Mane untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Salah melengkapkan malam gemilangnya dan The Kop dengan gol kelima perlawanan ketika aksi berbaki lima minit, untuk meletakkan dirinya selaku pemain Liverpool pertama menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan sejak Luis Suarez muncul pemain terakhir melakukannya ketika bertemu Norwich City pada Disember 2013.

Kedudukan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan, membolehkan anak-anak buah Klopp merapatkan jurang kepada dua mata di belakang skuad di tangga kedua liga, Manchester United, sementara Salah mengemudi senarai penjaring terbanyak dengan 28 gol.