CARDIFF CITY 1 WATFORD 5

Pengurus Cardiff City, Neil Warnock, membidas Simon Hooper bahawa dia tidak seharusnya mengadili perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menyaksikan pasukan dibelasah 5-1 oleh Watford, awal pagi tadi.


The Bluebirds dibenam menerusi hatrik Gerard Deulofeu dan jaringan berganda Troy Deeney, namun Warnock amat berang dengan keputusan Hooper untuk tidak memberikan penalti kepada pasukannya ketika Watford mendahului 1-0.

Josh Murphy dijatuhkan Daryl Janmaat di dalam kawasan penalti sebelum separuh masa pertama berakhir, sebaliknya Hooper tidak berminat untuk menghadiahkannya.

Watford mengambil sepenuhnya kesempatan berkenaan untuk menghukum aksi buruk pertahanan lawan dalam babak kedua untuk meninggalkan Cardiff hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Warnock terperanjat atas keputusan tidak memberikan tendangan penalti itu sambil menuduh Hooper tidak mencapai tahap yang diperlukan untuk mengadili perlawanan EPL dengan mendakwa pengadil itu sering "meneka" ketika membuat keputusan..

"Tiada siapa yang boleh memahami tindakannya," katanya kepada Sky Sports.

"Tindakan seperti itu boleh mengubah perlawanan dan saya tidak faham mengapa penalti itu tidak diberikan.

"Ia bukan alasan untuk kami melepaskan lima gol tetapi semua orang tahu dalam perlawanan seperti ini, perkara seumpama itu boleh membawa perubahan.

"Pengadil berada di kedudukan yang baik, oleh itu saya tidak faham. Jika anda tidak boleh membuat keputusan seperti itu di peringkat ini, anda tidak sepatutnya menjadi pengadil."

Warnock kemudian memberitahu Match of the Day: "Adakah mereka dididik dengan betul, saya tidak tahu tetapi ia adalah penalti yang jelas.

"Jauh di sudut hati, saya berasakan semua pengadil bersetuju dengan dakwaan saya, Jadi, saya tidak faham mengapa di tahap ini penalti tidak dapat diberikan.

"Akan wujud kesilapan tetapi mereka akan meraih manfaat yang besar dengan adanya video bantuan pengadil (VAR). Saya berasakan pengadil malam ini lebih kerap meneka untuk membuat keputusan dan ia tidak boleh wujud di peringkat ini."

Rakan sejawatan Warnock, Javi Gracia, mengakui bahawa Cardiff berhak ditewaskan dengan keputusan itu, namun pengurus dari Sepanyol itu lebih suka memberi tumpuan kepada prestasi mengagumkan anak buahnya.

"Saya faham," katanya. "Mereka boleh marah atas sebab itu tetapi saya lebih suka tidak mengatakan apa-apa mengenainya.

"Kami bermain dengan baik, menjaringkan lima gol dan mendominasi permainan. Kami berhak meraih kemenangan ini, ia prestasi yang sangat baik. Untuk menang di sini tidak mudah, saya sangat bangga dengan semua pemain saya."

Deulofeu dalam prestasi yang tidak dapat dilupakan melalui tiga penyudah berbisa.

Rakannya di bahagian serangan, Deeney, berkata: "Dia adalah pemain berkelas tinggi. Itulah sebabnya banyak pihak memburu khidmatnya. Dia terlepas beberapa peluang dalam aksi sebelum ini tetapi tidak pernah bersikap negatif dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

"Kami amat mengaguminya. Dia layak menerima segala pujian. Hari ini semuanya tentang dia dan tiada kena-mengena dengan saya."