Kyle Walker berkata pengalaman memanaskan bangku simpanan Manchester City telah menyedarkan dirinya.

Pertahanan kanan England itu telah berada di bangku simpanan dalam tiga aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut, termasuk ketika mengatasi Liverpool, 3 Januari lalu.

Tetapi Pep Guardiola membariskan semula Walker dalam kesebelasan utama pasukan ketika mengatasi Wolves 3-0, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Willy Boly dilayangkan kad merah ketika ketinggalan dengan satu jaringan di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Walker membantu City tidak dibolosi buat kali pertama sejak November lalu ketika Gabriel Jesus menjaringkan dua gol sementara jaringan sendiri Conor Coady melengkapkan kemenangan penyandang juara itu untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut dalam semua kejohanan.

Pemain pertahanan itu berasakan dia telah mengambil pengajaran selepas disisihkan oleh Guardiola.

"Ia merupakan perasaan yang mengecewakan apabila anda tidak beraksi untuk pasukan," kata Walker.

"Banyak yang anda pelajari di bangku simpanan. Ia mengingatkan saya supaya terus bekerja keras dalam sesi latihan.

"Kami masih lagi bersaing dalam empat kejohanan tetapi sedang berusaha untuk merapatkan kedudukan dengan Liverpool dan mahu memenangi perlawanan dengan sebanyak mungkin," ujarnya lagi.