CARDIFF 0 HUDDERSFIELD 0

Pengurus Huddersfield Town, David Wagner, bingung selepas sepakan penalti yang diberikan kepada pasukannya ditarik balik ketika seri tanpa jaringan dengan Cardiff City, awal pagi tadi.


Keputusan itu menyaksikan Huddersfield memiliki kelebihan lapan mata daripada zon penyingkiran saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad bimbingan Wagner itu mengawal hampir keseluruhan permainan tetapi mereka gagal untuk melunaskan peluang.

Bagaimanapun, ketika perlawanan berbaki 13 minit, Huddersfield diberikan sepakan penalti apabila Joe Bennett dijatuhkan Florent Hadergjonaj dalam kotak penalti, sebelum pengadil, Lee Mason, mengubah fikirannya selepas berbincang dengan pembantu pengadil.

Situasi itu meragukan Wagner apabila beliau tidak diberikan sebarang penjelasan.

"Sejujurnya, saya bukan individu yang harus ditanya mengenai soalan ini," kata Wagner kepada BBC Sport apabila ditanya apa yang berlaku kepada sepakan penalti tersebut.

"Terdapat empat individu serba hitam dan anda perlu bertanyakan kepada mereka.

"Saya bercakap dengan penjaga garisan ketika perlawanan dan dia berkata, 'insiden pertama bukan satu kesalahan dan yang kedua saya tidak tahu' tetapi saya tidak memahami apa yang dia maksudkan.

"Jelas kami berhak meraih sepakan penalti. Rakaman video membuktikannya tetapi kami tidak meraih apa-apa. Ini merupakan satu kesilapan yang besar."

Pengendali Cardiff, Neil Warnock, yakin dengan Mason yang mengubah semula keputusan itu, bagaimanapun menganggap pasukannya turut berhak meraih sepakan penalti dalam babak pertama perlawanan.

"Saya berasakan bagus untuk mempunyai penjaga garisan yang berpengalaman," katanya.

"Pertembungan di antara kedua-dua pemain itu tidak menjurus kepada hukuman penalti dan penjaga garisan telah mengubah keputusannya. Jika tidak, pasukan akan meraih kemenangan.

"Tetapi kami juga berhak meraih sepakan penalti dalam babak pertama tetapi tidak diberikan. Saya menganggap ini satu mata yang diraih berhak diterima kedua-dua pasukan."