Pertahanan Tottenham Hotspur, Jan Vertonghen, berharap pasukannya dapat mengekalkan Christan Eriksen selepas pemain itu dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan gergasi LaLiga, Real Madrid.

Madrid berkemungkinan menjadi destinasi pilihan Eriksen selepas penyerang Spurs itu mendedahkan dia mahu "mencuba sesuatu yang baru".

Tumpuan terhadap Eriksen itu tiba selepas Spurs mara ke final Liga Juara-Juara Eropah di mana mereka tewas 0-2 kepada seteru Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Di sebalik laporan terhadap minat kelab-kelab Eropah untuk mendapatkan khidmat Eriksen, Vertonghen -- yang sedang memperkuatkan Belgium untuk menghadapi Scotland dalam pusingan kelayakan Euro 2020, awal pagi esok -- berharap Spurs dapat mengekalkan khidmat penyerang kebangsaan Denmark itu.

"Sudah pasti apabila jendela perpindahan dibuka, terdapat banyak spekulasi yang akan tiba, namun terdapat khabar angin yang sama tahun lalu tetapi kami kekal bersama, jadi saya amat berharap," katanya kepada Sky Sports.

"Christian pemain yang hebat. Saya mengenalinya sejak dia berusia 16 atau 17 tahun (di Ajax) dan saya berharap dia akan kekal bersama Tottenham musim depan.

"Dia pemain yang perlu diterima," katanya.

Eriksen tiba daripada kelab gergasi Eredivisie, Ajax, pada 2013 dan pemain berusia 27 tahun itu telah membuktikan kredibilitinya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dan di Eropah.

Bagaimanapun, dia belum pernah memenangi sebarang trofi bersama kelab itu selepas mara ke final Piala EFL pada 2015 dan Liga Juara-Juara Eropah tahun ini.