Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, yakin Jamie Vardy akan memberikan impak terbesar dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 'melukai' Manchester City.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu akan memintas Liverpool di puncak liga andai menewaskan Leicester di Stadium Etihad, awal pagi esok.

Rodgers mampu membantu bekas pasukan kendaliannya, Liverpool -- yang tidak pernah menjuarai liga sejak 1990 -- andai dapat mengelakkan kekalahan dan pengurus kelahiran Ireland Utara itu berasakan Vardy akan memberikan impak terbesar.

"Dia mendatangkan gerun buat pihak lawan dan tiada siapa mampu menghalangnya," katanya kepada akhbar United Kingdom (UK) tentang Vardy, yang menjaringkan 18 gol dalam Liga Perdana musim ini.

"Andai saya sedang mempersiapkan pasukan untuk menentangnya, saya perlu pastikan yang saya berhati-hati dengannya.

"Jika anda tidak memberikan tekanan dalam perlawanan dan terdapat ruang untuk melakukan hantaran, dia akan menghukum anda kerana dia seorang penjaring.

"Jika anda memerhatikan keupayaannya untuk menghasilkan jaringan serta ancaman yang mampu dia berikan, anda akan sentiasa berhati-hati.

"Namun, inilah Liga Perdana yang memiliki ramai pemain terbaik dan penyerang terbaik dan anda perlu sentiasa mencari jalan untuk mengatasinya.

"Amat hebat untuk memilikinya dalam pasukan ini," katanya.

Leicester kini di tangga kesembilan Liga Perdana dan akan melonjak satu anak tangga andai memenangi perlawanan itu.

Kemenangan akan memastikan City kembali ke puncak Liga dengan kelebihan satu mata menjelang kunjungan ke laman Brighton and Hove Albion dalam perlawanan terakhir, hujung minggu ini manakala Liverpool akan menantikan cabaran daripada Wolves.