LEICESTER CITY 3 FULHAM 1

Brendan Rodgers menyifatkan Jamie Vardy sebagai "penyerang yang memukau" dan memuji sikap tidak mementingkan dirinya selepas dia melepasi angka jaringan ke-100 bersama Leicester City dalam kemenangan 3-1 ke atas Fulham, awal pagi tadi.


Pemain tengah yang dipinjamkan daripada Monaco, Youri Tielemans, meletakkan The Foxes di hadapan menerusi penamat mudah dalam pertengahan babak pertama setelah menerima umpanan daripada Vardy sebelum Floyd Ayite mengikat kedudukan pada minit ke-51.

The Foxes tampak terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri dalam kendalian sulung Rodgers di Stadium King Power, namun Vardy muncul wira pasukannya apabila melepaskan tendangan deras ke sudut bawah kanan Sergio Rico untuk mencapai angka 100 gol untuk kelab itu, empat minit menuju masa kecederaan dia menokok satu lagi gol untuk mengesahkan tiga mata.

Rodgers amat gembira sambil memuji pemain berusia 32 tahun itu -- yang menjadi pemain Leicester ketujuh untuk mencapai mercu tanda itu dan yang pertama sejak Gary Lineker melakukannya lebih 30 tahun lalu -- kerana belum terlambat untuk menyerlahkan sumbangannya.

"Saya mengambil berat tentangnya kerana dia adalah seorang penyerang berkelas atasan," kata Rodgers dalam sidang media.

"Saya fikir gol pertamanya dalam perlawanan ini menceritakan segala-galanya kerana dia layak untuk menyumbat gol yang ke-100 selain mencipta gerakan gol buat Tielemans.

"Itu sudah cukup untuk memberitahu anda segala-gala tentangnya bahawa dia tidak mementingkan diri sendiri dan seorang pemain yang bagaimana.

"Saya sangat gembira dia ada di sini kerana pasukan yang saya bimbing sentiasa mempunyai penggempur berbisa yang boleh memberi tekanan dan membaca permainan.

"Apa yang mengejutkan sejak saya tiba di sini, dia amat memahami taktikal dan masa yang tepat untuk memulakan tekanan. Dia adalah penyerang hebat dan menjaringkan dua gol yang indah."

Selain daripada tempoh 20 minit awal babak kedua, Leicester selesa untuk mendominasi permainan dan Rodgers berkata dia sudah mula melihat rentak permainan menyerang yang dihajatinya membuahkan hasil.

"Saya sentiasa menggemari pemain berada dalam lingkungan 10 hingga 15 meter antara satu sama lain," jelasnya.

"Apabila penyerang mula memberi tekanan seperti yang saya minta dan kombinasi pemain mula berpecah, akan ada pemain yang berada di kawasan berhampiran untuk cuba memenangi semula bola dan melancarkan serangan balas.

"Anda mempunyai Jamie, dua pemain tengah menyerang dan pemain sayap yang saling memberi sokongan.

"Apabila anda mempunyai bakat berpotensi seperti mereka, maka ia boleh menjadi gerakan yang menarik. Ppemain bergandingan dengan baik pada masa-masa tertentu. Dengan menjalani lebih banyak latihan dan lebih banyak memahami falsafah permainan saya, prestasi pasukan pasti akan bertambah baik."