Jamie Vardy pulih daripada kecederaan pergelangan kaki dan mungkin memainkan peranan dalam kunjungan Leicester City ke Sheffield United untuk aksi Piala Liga Inggeris (EFL), minggu ini.

Penggempur England itu terpaksa digantikan pada minit ke-93 dalam kemenangan 2-0 Leicester ke atas Brighton and Hove Albion, namun dia kembali menjalani latihan untuk bertandang ke Bramall Lane bagi aksi pusingan kedua itu.

Kelibat Vardy itu memberi kelegaan kepada bos Foxes, Craig Shakespeare, yang kehilangan Wes Morgan (kecederaan belakang), Danny Drinkwater (paha), Kelechi Iheanacho (ibu jari kaki) dan Vicente Iborra (pangkal paha).

"Jamie kembali menjalani latihan," ujar Shakespeare kepada laman sesawang rasmi kelab itu.

"Dia mengalami sedikit bengkak semalam, namun sudah pulih untuk berlatih hari ini.

"Mujur dia sudah pulih. Dia akan terlibat. Dalam tempoh berapa lama, kita perlu tunggu dan lihat."

Shakespeare menolak cadangan bahawa Iheanacho akan membuat kemunculan keduanya bersama Leicester selepas pemain Nigeria itu terpaksa menghabiskan masa dengan pakar fisioterapi.

Iheanacho hanya sempat beraksi selama lapan minit sejak menyertai Leicester dari Manchester City dan kecederaan ibu jari kaki yang menimpanya dalam aksi persahabatan pra-musim dengan Borussia Monchengladbach mengehadkan peluangnya.

"Kelechi sudah mula berlatih tetapi kami perlu meningkatkan kecergasannya," kata Shakespeare.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.