Virgil van Dijk berkata masih terlalu awal untuk Liverpool memikirkan tentang kejuaraan Liga Perdana Inggeris sambil menegaskan pendahuluan lima mata ke atas juara bertahan, Manchester City, tidak bermakna apa-apa.

Liverpool kini mendahului carta Liga Perdana dengan kelebihan lima mata selepas tujuh perlawanan dan The Reds kini sedang memburu kejuaraan itu selepas kali terakhir menjulangnya pada 1990.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu -- yang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim lalu -- turut mengetuai liga musim lalu sebelum pendahuluan tujuh mata mereka dipintas City pada penghujung saingan.

Dan selepas menewaskan Sheffield United 1-0 malam kelmarin, yang menyaksikan mereka mengekalkan rekod bersih tujuh kemenangan musim ini, Van Dijk berkata: "Ia tidak bermakna apa-apa (kelebihan lima mata). Ia masih terlalu awal.

"Kita baru hendak memasuki bulan Oktober dan waktu paling sibuk akan tiba.

"Masih terdapat banyak perlawanan dan perkara utama adalah kami perlu fokus menghadapi setiap perlawanan yang akan datang.

"Kami tidak mahu melihat pasukan lain kerana ia hanya sia-sia.

"Semua orang menyedarinya kerana musim lalu, kami dapat lihat betapa cepat ia mampu berubah.

"Kami hanya mahu fokus terhadap semua perlawanan yang mendatang," katanya.

Liverpool tidak pernah tewas dalam perlawanan liga di laman lawan sejak kekalahan kepada City, Januari lalu -- rekod 12 perlawanan tanpa kalah -- sambil mereka tidak pernah tewas di Anfield sejak April 2017.

"Hanya media yang menggemari statistik. Hakikatnya kami tiada apa-apa buat masa ini," katanya menjelang perlawanan dengan Salzburg dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi Khamis ini.

"Kami mahu terus beraksi baik dan masih banyak ruang untuk diperbaiki.

"Kami perlu yakin. Anda perlu berfikir yang anda akan memenangi setiap perlawanan atau anda boleh duduk di rumah sahaja.

"Kami mempunyai kualiti, kami mempunyai pemain yang berkebolehan.

"Kami perlu memilikinya, berehat dan bersedia untuk menghadapi Salzburg kerana ia pasti perlawanan yang sukar juga.

"Kami perlu memenangi setiap perlawanan, itulah caranya," tambahnya lagi.