Pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk, memberi amaran kepada Manchester City bahawa mereka tidak boleh mengambil kesempatan pada hari terakhir saingan Liga Perdana Inggeris.

Juara bertahan, City, akan bertandang ke Brighton and Hove Albion berbekalkan kelebihan satu mata berbanding Liverpool yang akan melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers.

The Reds perlu menewaskan Wolves sambil mengharapkan bantuan daripada pasukan tangga ke-17, Brighton, sekiranya mahu menjulang trofi sulung Liga Perdana Inggeris.

Van Dijk menolak untuk berputus asa, terutama dalam minggu yang menyaksikan Liverpool bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk membenam Barcelona 4-3 menerusi agregat dalam saingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

"Ia berlaku tetapi anda perlu realistik," katanya.

"Cara City beraksi sepanjang musim membuatkan ramai menjangkakan mereka akan menang. Namun, anda tidak akan tahu dan apa yang kami lakukan hanya fokus untuk mengalahkan Wolves kerana ia tugas yang besar.

"Semua orang bercakap tentang Brighton melakukan sesuatu tetapi kami perlu fokus apa yang ada di depan kami kerana Wolves begitu menyinar musim ini. Mereka menjadikan segalanya sukar buat semua pasukan. Sebab itu mereka berada di kedudukan sekarang.

"Namun, kami di laman sendiri, ia adalah aksi terakhir musim ini dan kami mahu memberikan segalanya. Jika menang, kami melunaskan tugas kami dan kemudian akan lihat apa berlaku di Brighton.

"Kami telah mempamerkan sepanjang musim ini bahawa kami tidak pernah berputus asa dan terus berusaha. Kami terus percaya, melakukan perkara yang betul.

"Kadangkala, anda memerlukan sedikit tuah tetapi anda juga perlu melakukan perkara yang tepat. Minggu ini sangat hebat buat kami dalam Liga Juara-Juara dan lihat nanti apa berlaku esok," katanya.