Virgil van Dijk percaya pengalaman luas yang dimiliki dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) akan membantu Adrian untuk menyesuaikan diri sebagai pengganti Alisson Becker yang cedera.

Liverpool masih menunggu keputusan imbasan selepas penjaga gol utama mereka itu ditimpa kecederaan betis ketika membuka kempen liga dengan kemenangan ke atas Norwich City, awal pagi kelmarin.

Jurgen Klopp mengakui masalah itu "tidak kelihatan terlalu bagus" selain mengesahkan pemain Brazil berkenaan akan tersisih untuk menghadapi Chelsea dalam perebutan Piala Super UEFA di Istanbul, awal pagi Khamis ini.

Ketiadaannya itu secara tidak langsung akan meningkatkan tekanan ke atas Adrian yang meninggalkan West Ham secara percuma pada akhir musim lalu setelah membuat 150 penampilan.

Pemain berusia 32 tahun berkenaan menyertai Liverpool hanya empat hari sebelum membuat penampilan sulung tetapi tonggak pertahanan, Van Dijk, berkata rakan sepasukan barunya itu boleh dijadikan sandaran.

"Saya fikir pada usia sepertinya, di peringkat kehidupan dan kerjayanya, dia boleh menyesuaikan diri dengan mudah," kata Van Dijk kepada wartawan.

"Dia telah mengharungi begitu banyak situasi dalam EPL jadi dia boleh diserap dengan mudah."

The Reds mampu mengamalkan corak permainan biasa sekiranya Adrian ditempatkan dalam kesebelasan utama dalam tempoh yang panjang.

Alisson beraksi dalam kesemua perlawanan liga musim lalu selain berkebolehan menggerakkan jentera serangan menerusi keupayaannya.

"Dia amat penting buat kami tetapi saya tidak pasti apakah masalah sebenar yang dihadapinya," kata Van Dijk.

"Kami akan lihat (perkembangannya) pada hari-hari berikutnya. Kami perlu berdepan dan menanganinya."