Virgil van Dijk dan Ilkay Gundogan percaya Liverpool dan Manchester City akan menghadapi perlawanan sengit dalam pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara, bulan depan.

Undian pada Jumaat lalu menyaksikan kedua-dua wakil Liga Perdana itu akan berentap di Anfield pada 4 April sebelum melanjutkan pertemuan di Stadium Etihad, enam hari kemudian.

Liverpool merupakan pasukan tunggal yang menundukkan The Citizens dalam kempen Liga Perdana musim ini dan dalam masa sama, anak buah Pep Guardiola itu ingin menambah koleksi gelaran selepas memenangi Piala Liga Inggeris (EFL).

Jurgen Klopp turut mempunyai rekod lebih baik terhadap Guardiola berbanding pengurus lain, begitupun Van Dijk tetap berpandangan The Reds bakal menghadapi tugas getir menentang City.

"Semua orang tahu bahawa sesiapa pun yang kami hadapi pasti sangat sukar," kata Van Dijk, yang menjadi pemain pertahanan termahal dunia ketika tiba dari Southampton pada Januari lalu, memberitahu laman sesawang Liverpool.

"Manchester City sangat mantap, sangat sukar untuk dihadapi dan kami perlu 100 peratus atau lebih baik untuk mengalahkan mereka dalam kedua-dua perlawanan."

Manchester City tidak pernah melepasi peringkat separuh akhir, namun Gundogan berharap pengalamannya dapat membantu pasukannya mengatasi Liverpool.

"Anda perlu menentang pasukan terbaik untuk memenangi trofi ini," kata pemain Jerman itu kepada laman sesawang City. "Anda harus bersaing dengan yang terbaik untuk ke final dan tentu saja untuk memenanginya.

"Saya cukup beruntung dapat bermain dalam final Liga Juara-Juara 2013 bersama Borussia Dortmund, malangnya kami tewas kepada Bayern Munich. Jadi, saya tidak sabar untuk mencuba dan meraih kemenangan pada kali ini -- itulah sasaran utama saya.

"Mujur kami memenangi Piala EFL dan kami sangat gembira mendapatkan trofi pertama kami pada awal musim ini. Kini nasib kami berada di tangan sendiri, tiada siapa yang dapat merampasnya.

"Bagi kami, ini hanya permulaan. Kami berada dalam situasi yang baik untuk menghadapi kelab-kelab elit di Eropah, namun saya tidak akan mengatakan bahawa kami sudah berjaya.

"Kami perlu bersaing dengan pasukan seperti Real Madrid, Barcelona, ​​Bayern Munich -- pasukan gergasi mengikut aturan, jadi siapa pun yang akan anda hadapi tiada bezanya."