Virgil van Dijk bukan untuk dijual dan akan disambut semula dalam skuad Southampton apabila dia menyelesaikan isu perpindahannya, menurut pengerusi kelab, Ralph Krueger.

Pemain pertahanan tengah Belanda itu mahu angkat kaki apabila menyerahkan surat permohonan untuk berpindah, minggu lalu.

Dia menjadikan Liverpool, Chelsea dan Manchester City sebagai sasaran biarpun kelab yang berpangkalan di Anfield itu membuat kenyataan umum bahawa mereka sudah menamatkan pemburuan mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu.

Liverpool kini diperkuatkan oleh bekas bintang Southampton seperti Adam Lallana, Dejan Lovren dan Sadio Mane yang kini merupakan tonggak utama.

Namun, Krueger memberitahu Southern Daily Echo, Southampton kini dalam posisi untuk mengekalkan aset berharga mereka itu, yang bermakna Van Dijk tidak akan ke mana-mana.

"Pendirian kami kekal sejak kami memaklumkan strategi kami, Mei lalu," kata Krueger.

"Saya sudah memberitahu berapa banyak perpindahan keluar masuk kami dan sudah tiba masanya untuk menghentikannya.

"Kami fikir ini adalah langkah yang bagus untuk melakukannya pada musim panas ini. Kekuatan kontrak, umur kumpulan pemain ini dan pengalaman musim lalu seperti kemaraan ke final Piala Liga Inggeris (EFL) telah memberikan kami pendapat jika kumpulan pemain ini mengekalkan momentum kemenangan, mereka akan memberikan kami peluang untuk mencapai tahap yang seterusnya.

"Bukan Virgil sahaja yang terlibat dalam hal ini; dia merupakan sebahagian strategi kami untuk tidak menjual pemain. Tiada siapa yang akan dijual tanpa keinginan kami, jadi dia tidak akan dilepaskan dalam jendela perpindahan ini. Kami perlu menegaskannya sekali lagi."

Southampton seri tanpa jaringan dengan Swansea City dalam aksi pembukaan liga minggu lalu di bawah sentuhan pertama Mauricio Pellegrino.

Krueger memuji tindakan pengurus berbangsa Argentina itu dalam menangani situasi Van Dijk dalam tempoh yang singkat.

"Mauricio telah melakukan tugas yang mengagumkan dalam menangangi situasi ini," tambahnya.

"Ia tidak menjejaskan pasukan ini. Ia tidak menjejaskan fokus dalam latihan, bilik persalinan dan sudah tentu semua orang akan mengalu-alukan kehadiran semula Virgil."