Jose Mourinho mengesahkan bahawa Toby Alderweireld tidak akan terlepas mengikuti kunjungan Tottenham ke Aston Villa, esok, meskipun isterinya baru melahirkan anak lelaki mereka semalam.

Pertahanan Belgium itu menerusi saluran media sosial rasminya memaklumkan bahawa isterinya, Shani, telah selamat melahirkan anak kedua mereka pada Hari Valentine.

Begitupun, Alderweireld tidak akan menghabiskan hujung minggu pertamanya di samping anaknya, Jace, apabila Mourinho mengesahkan dia dijangka kembali menyambung latihan bersama Spurs, hari ini.

Mourinho menawarkan ucapan tahniah kepada bekas pemain tengah Atletico Madrid itu, tetapi kelihatannya tidak senang apabila ditanya sama ada Alderweireld akan diberikan cuti.

"Untuk apa cuti?" jawab Mourinho dalam sidang media, malam tadi.

"Isterinya akan menjaga bayi mereka. Dia berada di samping keluarganya ketika masa ini. Dia akan bersama isterinya dan bayi mereka selama sehari lagi dan sedang menikmati masa dengan keluarga. Esok (Sabtu) dia akan kembali bertugas."

Mourinho pernah berbalah dengan Anthony Martial ketika menggalas jawatan di Manchester United pada 2018 apabila dia merasa pemain Perancis itu meluangkan masa yang terlalu lama bersama keluarganya selepas kelahiran anak kedua.

Martial meninggalkan kem pra-musim United di Amerika Syarikat demi menemani isterinya melahirkan anak tetapi tiga hari selepas itu, Mourinho mengkritik penyerang mudanya.