MANCHESTER UNITED 0 WEST BROMWICH ALBION 1

Manchester United gagal mempertahankan rekod kebal di laman sendiri musim ini apabila tewas 1-0 di tangan pasukan tangga terbawah liga, West Bromwich Albion, sekali gus membolehkan Manchester City dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris lebih awal dalam aksi di Old Trafford, lewat malam tadi.

Selepas melakukan kebangkitan menakjubkan pada minggu lalu sewaktu memadamkan pendahuluan dua gol Manchester City untuk menang 3-2 di Etihad, skuad bimbingan Jose Mourinho itu melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama apabila membariskan Victor Lindelof dan Juan Mata bagi menggantikan Eric Bailly serta Jesse Lingard.

Bagaimanapun, tuan rumah hampir dikejutkan dengan gol pembuka tirai oleh pelawat menerusi Jack Livermore pada minit ke-11, namun rembatan leret kaki kirinya ditepis keluar oleh David De Gea.

Tersentak dengan ancaman West Brom, United mula menguasai bahagian tengah dan berpeluang untuk meletakkan diri di depan tujuh minit kemudian apabila Craig Dawson menjatuhkan Ander Herrera di dalam kotak penalti tetapi pengadil tidak meniupkan wisel untuk memberikan sepakan penalti.

Seminit kemudian, Romelu Lukaku turut meraih peluang di depan gol tetapi percubaannya diselamatkan penjaga gol, Ben Foster, sebelum rembatan susulan Alexis Sanchez sekali lagi dinafikan bekas pemain The Red Devils itu.

Seminit bersambung dalam babak kedua, United sekali lagi hampir membuka tirai jaringan menerusi pemain gantian, Lingard, yang menyambut hantaran Sanchez tetapi Dawson menjadi penghalang terakhir di depan gol.

Lukaku juga meraih peluang keemasan pada minit ke-66 apabila lambungan Nemanja Matic ditanduk penyerang Belgium itu tetapi Foster melayangkan badan untuk menepis keluar.

Sebaliknya, pelawat yang memecah kebuntuan di Ol Trafford apabila kesilapan Matic untuk menanduk keluar bola sepakan sudut lawan membolehkan Jay Rodriguez pantas menyempurnakan peluang terhidang di depan gol untuk menjadikan kedudukan 1-0 pada minit ke-73.

Terdesak ketinggalan satu gol, Mourinho memasukkan Marcus Rashford untuk menambah kudrat di jentera serangan, namun segalanya sudah terlambat untuk membuatkan United tewas 1-0 di gelanggang sendiri buat kali pertama bagi saingan liga musim 2017/18, sekali gus membenarkan The Citizens meraih kejuaraan liga lebih awal setelah menundukkan Tottenham Hotspur 3-1 pada awal pagi semalam.