United mungkin tidak bawa masuk pemain baru pada Januari -- Solskjaer

Oleh Staff Writer 7 November 2019 1234
United mungkin tidak bawa masuk pemain baru pada Januari -- Solskjaer
Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan Manchester United mungkin tidak akan mendapatkan mana-mana pemain baru ketika jendela perpindahan Januari depan walaupun mengharungi permulaan buruk musim ini.

Kekalahan di tangan Bournemouth, Sabtu lalu menyaksikan United hanya mengutip 13 mata daripada 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris, sekali gus menjadi permulaan terburuk di pentas tertinggi England itu sejak kempen 1986-87.

Skuad kendalian Solskjaer itu kini menduduki tangga ke-10 liga, 10 mata ketinggalan di belakang Chelsea yang menduduki tangga keempat dan menghasilkan jaringan yang kurang berbanding Brighton and Hove Albion, Burnley dan Bournemouth selepas tidak mendapatkan pengganti Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez ketika musim tamat.

Namun, Solskjaer kini tampak tidak akan membawa masuk sebarang penambahan bagi meningkatkan kekuatan barisan serangan Januari depan.

Bercakap menjelang aksi Liga Europa menentang Partizan Belgrade awal pagi esok, Solskjaer memberitahu wartawan: "Keutamaan sekarang adalah memastikan pemain cergas dan mara ke pusingan seterusnya.

"Perpindahan, kami mencari untuk jangka panjang.

"Mungkin tiada perpindahan. Mungkin akan wujud satu atau dua perjanjian pada Januari depan tetapi jendela perpindahan musim panas sentiasa menjadi saluran utama.

"Anda tidak boleh melakukan banyak perpindahan bijak dalam bulan Januari."

United telah mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan Liga Europa musim ini dalam kejohanan yang ketika ini menawarkan cara paling realistik untuk mereka kembali ke Liga Juara-Juara Eropah.

Tiga musim lalu, Jose Mourinho mengemudi United menjulang trofi Liga Europa, sekali gus mara ke Liga Juara-Juara walaupun menduduki tangga keenam liga domestik.

Namun, Solskjaer masih belum berputus asa untuk mara ke Liga Juara-Juara menerusi kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

"Ini satu laluan, salah satu daripada dua," tambahnya ketika ditanya mengenai kemaraan ke Liga Juara-Juara menerusi tiket Liga Europa.

"Kini baru memasuki bulan November dan anda tidak akan bercakap mengenai kedudukan terakhir carta liga ketika ini. Saya tidak fikir ada sesiapa yang boleh memberikan jangkaan.

"Kami belum mengutip banyak mata seperti yang dimahukan tetapi kami akan mencabar kedudukan empat teratas."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen