United mahu julang Piala FA buat Ferguson

Oleh Staff Writer 8 Mei 2018 3301
United mahu julang Piala FA buat Ferguson
Pemain tengah Manchester United, Juan Mata, mendedahkan pasukannya mahu meraih kejuaraan Piala FA sebagai tanda hormat kepada bekas pengurus, Sir Alex Ferguson, yang kini berada di hospital selepas menjalani pembedahan kecemasan.
 
United mengesahkan pada Sabtu lalu bahawa bekas pengurus berusia 76 tahun itu sedang menjalani proses pemulihan daripada pendarahan otak selepas melalui satu pembedahan yang berjaya, namun tiada sebarang berita terbaru dilaporkan sejak itu.
 
Mesej sokongan buat Ferguson dan keluarganya hadir dari seluruh dunia tatkala pengendali dari Scotland itu diakui salah seorang pengurus terbaik dalam sejarah bola sepak.
 
Justeru, Mata menjelaskan United, yang bakal berdepan Chelsea dalam final Piala FA di Wembley pada 19 Mei ini, mahu berjuang berhabis-habisan untuk Ferguson.
 
“Sabtu lalu, semua orang terkejut dengan berita mengenai kesihatan Sir Alex Ferguson,” kata nukilan daripada blog milik Mata.
 
“Keadaan ini memberikan impak besar kepada United dan anda boleh membayangkannya. Semua orang bersatu ketika ini dan mendoakannya segera sembuh. Dia terbukti seorang yang unik dan individu hebat dalam dunia bola sepak sejak beberapa dekad lalu.
 
“Saya tidak pernah beraksi di bawah bimbingannya tetapi amat arif dengan legasinya di kelab ini, terutama mentaliti kemenangan dan berjuang sehingga saat terakhir yang harus kami tampilkan dalam tiga aksi terakhir, termasuk final Piala FA.
 
“Untuk mendapatkannya, kami akan bekerja keras sambil menunggu perkhabaran positif mengenainya,” tambah Mata.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen