Manchester United sah menandatangani pemain sayap Wales, Daniel James, daripada Swansea City dengan kontrak pendahuluan selama lima tahun seperti yang disahkan kelab Liga Perdana itu.

Pemain kebangsaan Wales berusia 21 tahun itu, yang perpindahannya berdasarkan syarat pelepasan antarabangsa, merupakan pemain pertama yang ditandatangani Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus United dengan Swansea dilaporkan menerima bayaran pendahuluan £15 juta (RM79.1 juta) dan berpotensi untuk menerima bayaran tambahan £3 juta (RM15.8 juta) lagi.

James mencuri tumpuan sepanjang musim ini -- kempen profesional pertamanya -- dengan menghasilkan empat gol dan tujuh bantuan jaringan menerusi 33 penampilannya dalam Liga Kejuaraan.

Dia hampir menyertai Leeds United, Januari lalu, ketika skuad kendalian Marcelo Bielsa itu sedang memburu slot kelayakan ke Liga Perdana Inggeris yang kemudiannya gagal, namun kedua-dua kelab itu gagal mencapai kata sepakat dan James kekal di Swansea.

Solskjaer gembira kerana dapat memiliki seorang pemain berbakat di bahagian serangan dengan United sedang mencari formula baru yang lebih segar selepas melalui musim yang suram.

"Daniel seorang pemain sayap muda yang menarik dengan kemahiran, visi, rentak dan etika kerja yang bagus," katanya dalam laman web rasmi pasukan.

"Dia melalui musim yang hebat dengan Swansea dan dia memiliki segala keperluan untuk menjadi pemain Manchester United.

"Kami gembira kerana dia menyertai kelab ini dan tidak sabar untuk bekerjasama dengannya.

"Ini adalah persekitaran terbaik untuk dia meneruskan perkembangannya," katanya.

Di sebalik prestasi baiknya dalam Liga Kejuaraan, James turut memaparkan aksi cemerlang dalam Piala FA di mana dia menjaringkan gol solo menarik ke atas Brentford, Februari lalu selain turut mencuri tumpuan ketika pasukannya tewas kepada Manchester City dalam suku akhir.

Jaringan ke atas Brentford itu turut mengagumkan pemerhati bola sepak England terhadap rentak permainan yang dimilikinya di mana dia melepasi kawalan deretan pertahanan tuan rumah sebelum menyudahkannya dengan penuh yakin.

James tidak sabar untuk beraksi dalam Liga Perdana, namun ingatannya kekal buat bapanya yang meninggal dunia bulan lalu.

"Hari ini merupakan hari terbaik dalam hidup saya dan ia juga cabaran yang saya nanti-nantikan.

"Liga Perdana merupakan liga terbaik di dunia dan Manchester United ialah tempat yang sempurna untuk saya terus berkembang sebagai seorang pemain.

"Ia merupakan detik paling membanggakan buat saya dan keluarga, namun ia disulami dengan kesedihan kerana bapa saya tidak dapat berkongsi kegembiraan ini dengan kami.

"Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Ole, berjumpa rakan sepasukan dan memulakan aksi," katanya.