Phil Jones berkata Manchester United hanya menjadi bahan jenaka sewaktu di bawah kendalian Jose Mourinho, namun skuad The Red Devils itu kini sedang menuju ke haluan yang betul sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih pasukan.

Mourinho dipecat Disember lalu ekoran prestasi buruk United yang dilaporkan disebabkan ketegangan di bilik persalinan, dengan Paul Pogba dikatakan menjadi punca kepada konflik itu.

United ketika itu terkeluar daripada perebutan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 1-3 kepada Liverpool, namun mereka kini melewati 11 perlawanan tanpa kalah dan kembali mendaki kelompok empat teratas sejak Solskjaer dilantik sebagai pengurus sementara.

Selepas menewaskan Fulham 3-0 kelmarin, United kini dalam persediaan terakhir untuk membuktikan mereka pasukan yang mampu mencabar kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah menjelang perlawanan pusingan 16 di Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi Rabu ini.

Bagi pertahanan tengah, Jones, dia berkeyakinan tugasan itu akan dapat dilaksanakan.

"Setiap pasukan kini perlu mengambil serius perlawanan menentang kami," kata Jones yang baru menandatangani kontrak lanjutan empat tahun dengan pasukan itu minggu ini.

"Kami mungkin bahan jenaka pada awal musim ini, namun ia tidak lagi sekarang.

"Kami membuktikan yang kami sedang meningkat dalam 10 ke 12 perlawanan terakhir.

"Kami masih boleh meningkat lagi.

"Ia merupakan sesuatu yang sukar buat semua pihak yang terlibat. Kelab ini, penyokong kami dan semua orang.

"Namun, ia tentang menjadi lebih kuat dan melepasi segala cabaran.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami belum mencapai apa-apa. Kami tidak mahu berilusi, namun kami sedang menuju ke haluan yang betul," katanya.

Pogba menjaringkan dua gol ketika menundukkan Fulham di Craven Cottage dengan Anthony Martial turut mencuri tumpuan menerusi jaringan solo gemilang.

United kini berkelebihan satu mata di depan Chelsea dan Arsenal, dan kekurangan sembilan mata di belakang pasukan di tangga ketiga, Tottenham Hotspur, selepas 26 perlawanan.

"Kami tahu kami mampu menduduki tangga empat terbaik. Ia merupakan kenyataan yang berani berdasarkan di mana kedudukan kami sebelum ini," kata Jones.

"Kami hanya perlu terus meningkat dan terus meraih mata.

"Aksi konsisten merupakan kunci kejayaan dalam mana-mana sukan, tiada bezanya di sini.

"Kami melakukannya sebagai satu pasukan dan kami perlu meneruskannya untuk terus mengumpul mata.

"Waktu sukar akan tiba, namun ia adalah perlawanan yang kami mahu beraksi, perlawanan yang kami mahu diturunkan. Bawanya ke sini!"