Ole Gunnar Solskjaer berjanji kepada seluruh penyokong Manchester United bahawa pasukannya akan kembali ke prestasi terbaik selepas waktu rehat antarabangsa susulan prestasi terburuk yang dipamerkan mereka sejak pengendali kelahiran Norway itu mengambil alih.

United bergelut untuk melakukan percubaan ketika tewas 1-2 kepada Wolves dalam suku akhir Piala FA awal pagi tadi untuk Solskjaer -- yang mengambil alih kedudukan Jose Mourinho sejak Disember lalu -- mengalami dua kekalahan berturut-turut buat kali pertama.

The Red Devils ditewaskan Arsenal 0-2 dalam Liga Perdana Inggeris selepas mereka menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Bercakap kepada wartawan selepas aksi hambar pasukannya di Molineux, Solskjaer ditanya sama ada dia mempunyai pesanan untuk disampaikan kepada penyokong United.

"Kami akan bersedia untuk bangkit selepas waktu rehat antarabangsa.

"Man United sentiasa akan menemui prestasi tebaik pada April dan Mei.

"Kami tidak sabar untuk beraksi pada malam yang besar seperti perlawanan dengan Barcelona.

"Kami mempunyai pelbagai tumpuan untuk dinantikan," katanya mengenai perlawanan menentang gergasi Catalan itu dalam suku akhir Liga Juara-Juara.

"Tentang pemain, tidak perlu risau terhadap kelakuan mereka kerena apabila mereka kembali beraksi, mereka akan memberikan yang terbaik semula," tambahya.

Gol daripada Raul Jimenez dan Diogo Jota dalam babak kedua memastikan Wolves mengepalai saingan di West Midlands itu dengan Marcus Rashford menjaringkan gol dalam waktu kecederaan yang sudah terlewat untuk United bangkit.

Solskjaer menambah: "Ia merupakan aksi terburuk kami sejak saya tiba di sini. Kami kurang keghairahan sewaktu menyerang, kurang hantaran ke depan dan kurang penguasaan.

"Waktu rehat antarabangsa adakalanya berguna dan kami sudah tidak sabar untuk kembali beraksi dan memperbetulkan segala-galanya.

"Sesetengah pemain akan mendapat pengalaman berguna dengan pasukan kebangsaan mereka dan sesetengah lagi akan mendapat waktu rehat dan terus berusaha keras di sini.

"Kami berada di kedudukan yang baik dalam saingan liga dan Liga Juara-Juara Eropah, jadi ia amat mengecewakan apabila kami gagal ke separuh akhir malam ini," katanya.