Tottenham Hotspur mengesahkan penjaga gol berpengalaman, Michel Vorm, telah meninggalkan kelab itu.

Pemain berusia 35 tahun dari Belanda itu tidak akan menandatangani kontrak baru bersama finalis Liga Juara-Juara Eropah itu.

Vorm menyertai Spurs daripada Swansea City pada 2014 tetapi memainkan peranan selaku penjaga gol kedua di belakang kapten, Hugo Lloris.

"Hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bersama @SpursOfficial atas segala pengalaman ini," katanya.

"Daripada penjaga jersi, staf perubatan, pengurusan, peminat serta semua pemain, pengerusi dan pegawai media, saya belajar dan melihat banyak perkara.

"Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kelab ini dan berkembang. Masih ada ruang untuk meningkat dan tiada batasan.

"Jutaan terima kasih buat jurulatih penjaga gol, Toni Jimenez, atas segala-galanya. Ia satu penghargaan dapat bekerja dengan anda."

Vorm melakukan 13 penampilan buat Spurs sepanjang lima tahun di kelab itu.

Spurs turut mengesahkan pemain muda, Japhet Tanganga dan Jack Roles, telah menandatangani kontrak baru sambil penyerang berusia 17 tahun, Kion Etete, berhijrah ke Notts County.