Tottenham boleh jadi juara Liga Perdana Inggeris -- Mourinho

Oleh Staff Writer 22 November 2019 1083
Tottenham boleh jadi juara Liga Perdana Inggeris -- Mourinho
Jose Mourinho percaya Tottenham Hotspur boleh mencapai sasaran menjuarai Liga Perdana Inggeris musim depan.

Kelmarin, bekas pengurus Chelsea, Real Madrid dan Manchester United itu dilantik selaku pengendali Spurs susulan pemecatan Mauricio Pochettino.

Kempen suram di pentas domestik menyaksikan Spurs kini menduduki tangga ke-14 liga selepas 12 perlawanan tetapi Mourinho memuji skuad barunya itu dan mendakwa kejuaraan liga pertama buat Spurs sejak musim 1960-61 mampu dilakar bagi saingan 2020-21.

"Kami tidak boleh menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini," katanya.

"Musim depan, saya tidak kata kami akan menang tetapi kami boleh."

Mourinho menghabiskan tempoh 11 bulan tanpa aksi bola sepak selepas dipecat United pada Disember tahun lalu dan pelantikan muka baru dalam barisan kejurulatihannya yang terdiri daripada bekas jurulatih Lille, Sacramento dan Nuno Santos, membuktikan dia kini membuka lembaran baru.

"Saya rendah diri untuk cuba dan menganalisis karier, bukan hanya tahun lalu tetapi keseluruhannya, termasuk evolusi dan masalah," katanya.

"Prinsip analisis adalah tidak menyalahkan orang lain. Apabila saya hadir ke mesyuarat dengan pembantu serta mereka yang saya bawa bersama dalam bahagian ini, ia adalah prinsip di mana tiada siapa dipersalahkan.

"Saya tidak akan lakukan kesilapan sama. Saya akan buat kesilapan baru. Saya akan jadi lebih kuat.

"Daripada pandangan beremosi, saya tenang, bermotivasi dan sedia. Saya fikir pemain dapat rasakannya dalam tempoh dua hari. Saya sedia dan hadir ke sini untuk menyokong mereka.

"Dalam hidup ini, anda melalui fasa sebegini di mana ia bukan tentang diri anda tetapi pemain dan kelab."

Bagaimanapun, Mourinho menegaskan corak permainan dan prinsip yang membawa kepada kejuaraan liga di  empat negara sebelum ini akan kekal sambil keperluannya buat pemain adalah sentiasa mementingkan kolektif sebelum diri sendiri.

"Ia tetap akan sama. Namun, saya akan cuba tambah secara terperinci dan kadangkala ia mampu memberikan perbezaan," tambahnya.

"Corak permainan harus disesuaikan, bukan hanya untuk budaya tetapi persembahan pasukan. Pemain dalam skuad ini memiliki kualiti.

"Saya membaca petikan kenyataan daripada Kobe Bryant. Jika anda bercakap tentang sesetengah contoh profesionalisme dan juara sebenar, dia adalah contoh terbaik dalam sukan. Dia berkata: 'Orang ramai fikir saya sukar tetapi ia hanya untuk mereka yang tidak berkongsi prinsip saya.'

"Rakan sepasukan yang berkongsi prinsipnya itu sukakannya. Mereka yang tidak sukakan dia adalah mereka yang tidak berkongsi prinsipnya . Begitu juga dengan saya.

"Bagi saya, segalanya tentang pasukan dan bukan mereka yang pentingkan diri. Ia tentang kumpulan, profesionalisme, komitmen, hormat kepada kelab dan rakan sepasukan.

"Saya tidak boleh lari daripada perkara ini. Jika ada golongan yang tidak berkongsi prinsip ini dengan saya, mereka mempunyai masalah dan ia akan sentiasa membelenggu kami.

"Bagi saya, bola sepak sepatutnya begini. Pemain hanya menjadi besar apabila mereka menjadikan yang lain lebih bagus. Anda tidak boleh menjadi pemain yang besar jika hanya fikirkan diri sendiri. Itu prinsip lain."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen