Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, berkata pemainnya tampak keletihan ketika kedudukan 3-0 sehingga membenarkan lawan bangkit di penghujung aksi sewaktu menewaskan Southampton 3-1 di Wembley, awal pagi tadi.

Harry Kane, Lucas Moura dan Son Heung-Min masing-masing menyumbat gol dalam 55 minit pertama perlawanan untuk memberikan penguasaan kepada Spurs tatkala pengendali baru The Saints, Ralph Hasenhuttl, menonton dari tempat duduk penonton.

Namun, pelawat melakukan asakan bertali arus, menyaksikan mereka menggegarkan palang gol Spurs tiga kali serta memaksa Hugo Lloris mencipta aksi tangkas menafikan dua percubaan sebelum Charlie Austin menyumbat gol di penghujung permainan.

"Saya rasa ia tiga mata yang penting," kata Pochettino.

"Waktu yang sukar, tidak mudah untuk beraksi selepas minggu yang kami lalui dan saya sangat gembira kerana kami kembali berada dalam kedudukan empat terbaik.

"Ia perlawanan yang pelik. Apabila mendahului 3-0 dan mungkin kami fikir aksi sudah berakhir. Lloris mungkin pemain terbaik perlawanan kerana melakukan aksi hebat menafikan usaha lawan.

"Sukar untuk bermain dalam tiga perlawanan getir sejak minggu lalu, termasuk kemenangan Liga Juara-Juara Eropah ke atas Inter Milan dan anda mula rasa penat tetapi kami bangkit dan 33 mata membolehkan kami menduduki tangga ketiga liga.

"Sudah tentu ia tempoh sukar buat pemain dan peminat tetapi kadangkala kami memerlukan motivasi."