Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menegaskan dia tidak menyesal tidak mendapatkan pemain baru ketika musim panas lalu sambil berkata dia tidak mahu menambah pemain tanpa sebarang sebab.

Spurs memenangi enam daripada lapan aksi pembukaan liga musim ini untuk menduduki tangga kelima, hanya dibezakan dua mata dengan Manchester City, Chelsea dan Liverpool.

Permulaan cemerlang itu diraih tanpa kehadiran sebarang muka baru sehingga mencetuskan kritikan dan persoalan terhadap kekuatan seluruh skuad Spurs.

Namun, Pochettino berkata tindakan yang diambil kelab itu sesuatu yang tepat sambil menjadikan permulaan kempen 2018/19 sebagai contoh.

"Kami sentiasa cuba untuk meningkatkan paukan kerana bola sepak itu dinamik," kata Pochettino.

"Namun, jika anda tidak boleh mencapai apa yang anda perlu atau mahukan, mendapatkan pemain kerana ingin membuatkan orang lain gembira, bagi saya itu tidak masuk akal.

"Kami membuktikan kami tidak peduli. Jika kami tidak perlukan pemain yang boleh didapatkan, mengapa kami perlu? Itu keutamaannya.

"Saya gembira dengan skuad yang saya ada, kami tidak menyesal. Apabila kami memulakan musim dengan tiga kemenangan dan berada di tangga teratas, orang ramai mula bercakap 'Oh bijak Spurs kerana mengekalkan pemain sama daripada musim lalu'.

"Selepas tewas beberapa perlawanan, ia mula memberi impak besar kepada kami daripada segi pendapat tetapi saya perlu mengingatkan bahawa ia adalah permulaan terbaik kami selepas lapan perlawanan," tambahnya.

Cabaran sebenar Spurs dalam merebut kejuaraan liga bakal dihadapi bulan depan apabila akan berdepan Manchester City, Chelsea dan Arsenal.

Pochettino berkata dia berharap pasukannya kekal cergas untuk menghadapi tempoh getir itu.

"Ia bakal menjadi tempoh yang sukar buat kami," tambah Pochettino.

"Terdapat banyak perlawanan yang menunggu dan sangat penting untuk mendapatkan skuad cergas dalam persaingan bagi memberikan pilihan dalam penggiliran demi berkongsi aksi.

"Kami mempunyai tujuh perlawanan dalam tempoh empat minggu dan sangat penting untuk kami bersaing dengan cergas serta memberikan tahap yang kami mahukan."