Lucas Torreira meredakan spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan ke AC Milan sambil meluahkan sangat gembira di Arsenal walaupun bergelut untuk menyesuaikan diri.

Pemain Uruguay itu menyertai The Gunners daripada Sampdoria tahun lalu dengan yuran £26 juta (RM136.9j).

Dia menunjukkan potensi dalam kempen sulungnya di England dengan menawarkan corak permainan bertenaga.

Begitupun, Milan dikhabarkan berminat untuk mendapatkannya dan khabar angin itu semakin kuat diperkatakan dalam beberapa hari kebelakangan ini selepas Torreira -- sedang mengharungi Copa America 2019 -- berkata dia lebih suka tinggal di Itali daripada England.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu menegaskan bahawa dia bukannya tergesa-gesa untuk angkat kaki.

"Mengenai minat daripada AC Milan, saya tidak mengetahuinya," katanya kepada pemberita, semalam.

"Perkara ini dibangkitkan ekoran kenyataan saya dalam satu sidang akhbar di Montevideo.

"Hakikatnya, tiada tawaran daripada Milan. Saya kini berada di Arsenal, salah sebuah pasukan terhebat di dunia.

"Anda semua tahu ia situasi sukar buat saya. Saya berasal dari sebuah bandar kecil dan kini bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi saya gembira dan bangga menjadi sebahagian daripada Arsenal.

"Saya menyatakan betapa sukarnya untuk menyesuaikan diri di England kerana bukannya mudah untuk tiba di negara di mana anda tidak tahu bahasanya.

"Sukar untuk berkomunikasi dengan rakan sepasukan dan itu semua bukannya mudah.

"Tetapi saya sangat gembira dan tidak fikir tentang apa-apa melainkan Arsenal. Buat masa ini, saya bersama pasukan kebangsaan dan saya mahu fokus kepada kempen kami.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

"Saya adalah pemain Arsenal ketika ini dan saya lebih suka bercakap tentang Arsenal demi menghormati peminat dan rakan sepasukan saya."