Pemain pertahanan Liverpool, Dejan Lovren, merayu pelarian perang diberi peluang apabila mengenang kembali pengalaman ngerinya pada zaman kanak-kanak.

Lovren, 27, dan ahli keluarganya meninggalkan kampung halaman mereka yang terjerumus ke dalam kancah peperangan di Bosnia pada sekitar 1990-an.

Peperangan yang meletus di Asia, termasuk Syria ketika ini, memaksa pelarian perang meninggalkan rumah mereka dan lari ke Eropah.

Dalam dokumentari yang disiarkan di laman sesawang Liverpool, Lovren berkata pengalaman yang ditempuhinya memberinya perspektif berbeza di mana dia menuntut semua pihak untuk menyelami kesusahan mangsa perang.

"Apabila saya menyaksikannya (pelarian) hari ini, saya terkenangkan diri saya, keluarga dan bagaimana ada pihak tidak mahu anda berada di negara sendiri," kata pemain Croatia itu.

"Saya tahu mereka mahu mempertahankan diri tapi mereka tidak memiliki rumah. Ia bukan salah mereka; mereka bersabung nyawa hanya untuk menyelamatkan anak-anak mereka.

"Mereka mahukan tempat berteduh untuk anak-anak mereka dan masa depan mereka.

"Saya melalui ini semua dan saya sedar apa yang ditempuhi keluarga ini.

"Berilah mereka peluang, berilah mereka peluang. Anda boleh saksikan siapakah di pihak yang benar dan tidak."

Lovren masih ingat bagaimana keluarganya terpaksa meninggalkan segala-galanya untuk ke Jerman.

"Kami memiliki segalanya. Kami tidak pernah ditimpa kesusahan," katanya.

"Semuanya berjalan dengan baik bersama jiran-jiran -- dengan muslim dan orang Serbia. Semuanya mesra di antara satu sama lain dan menikmati kehidupan mereka.

"Kemudian, perang pun meletus. Saya masih ingat bunyi siren. Saya berada dalam ketakutan kerana teringatkan bom.

"Saya ingat lagi, ibu membawa saya ke tingkat bawah rumah -- saya tidak tahu sudah berapa lama duduk di situ. Selepas itu, ibu saya, pak cik dan isterinya, kami bersama-sama memandu ke Jerman selama 17 jam.

"Mereka meninggalkan segala-galanya. Mereka hanya membawa sebuah beg. Saya tidak boleh membayangkan jikalau hari ini saya terpaksa melarikan diri bersama anak-anak dan dalam ketakutan yang teramat.

"Ia mengenai nyawa, bukan kerana kerja atau seumpamanya. Anda terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki."