Beraksi bersama Napoli sebelum ini tidak akan menghalang Jorginho daripada kembali bersatu dengan Maurizio Sarri di Juventus, menurut ejen pemain tengah Chelsea itu.

Ketua jurulatih baru Juventus, Sarri, membawa Jorginho ke Chelsea daripada Napoli musim lalu dan dia sekali lagi akan mendapatkan pemain tersebut dalam musim pertamanya bersama skuad The Old Lady.

Pemain berusia 27 tahun itu gagal untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris dan dijangka kembali ke kancah Serie A selepas 11 bulan di Stamford Bridge.

Wakil Jorginho, Joao Santos, berkata walaupun pemain itu tidak secara aktif meminta untuk berhijrah, perpindahannya merupakan sesuatu yang tidak boleh diketepikan.

"Chelsea mengikat kontrak empat tahun dengan pemain tersebut," kata Santos. "Kami akan menunggu beberapa hari lagi sebelum membincangkan mengenai mana-mana perpindahan.

"Bersama Napoli sebelum ini bukanlah satu isu besar kerana Jorginho adalah seorang yang profesional. Buat masa ini, Jorginho gembira bersama Chelsea."

Sarri mengakhiri saingan Serie A sebagai naib juara sebelum berhijrah ke Chelsea, di mana dia berkhidmat selama semusim dengan menjuarai Liga Europa mengatasi Arsenal di Baku, Azerbaijan bulan lalu.

Santos menjangkakan sesuatu daripada Sarri, yang bakal diperkenalkan secara rasminya hari ini, untuk meningkatkan lagi kualiti permainan juara Itali itu dengan gaya permainannya yang tersendiri.

"Sarri telah membuktikan kebolehannya bersama Napoli dan Chelsea bahawa dia merupakan jurulatih yang berkualiti. Bersama kelab seperti Juve, dia akan terus mencipta kejayaan.

"Saya telah menyaksikan pendekatan Sarri selama hampir lima tahun dan corak permainannya sangat menarik. Juventus akan melalui perubahan dan memiliki impak yang besar," tambahnya.