Arsenal tidak dapat menggantikan pencapaian Arsene Wenger sebagai pengurus dan harus mencari jalan baru di bawah penggantinya, kata Ketua Eksekutif, Ivan Gazidis.

The Gunners membuat pengumuman mengejut semalam bahawa Wenger akan meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini selepas hampir 22 tahun memikul tugas itu.

Perhatian mula beralih kepada calon yang akan mengambil alih peranan itu dengan bos Celtic, Brendan Rodgers, Thomas Tuchel, Carlo Ancelotti dan Luis Enrique antara calon pilihan.

Namun, Gazidis berkata tidak ada perbincangan mengenai pengurus baru dan mendakwa adalah sia-sia untuk mendapatkan seseorang yang mampu menyamai pencapaian "luar biasa" Wenger di utara London.

"Kami tidak akan mencari pengganti," katanya dalam sidang akhbar. "Arsene adalah seorang pengurus luar biasa dan seorang yang luar biasa. Anda tidak mampu mencari penggantinya, anda perlu mencari jalan baru ke hadapan.

"Apabila kita melihat ke hadapan, situasi kelab kini berada di tempat yang sangat berbeza daripada 22 tahun yang lalu. Adalah tidak masuk akal bagi saya bahawa kami akan mempunyai seorang lagi pengurus lain yang akan bertugas dalam tempoh 22 tahun.

"Kami akan menjalani proses dan ia bermula hari ini tetapi saya mahu mengekalkannya secara dalaman dan kami akan menjalankannya secara tertib, selaras dengan nilai-nilai Arsenal dan demi menghormati individu tersebut, kami tidak membincangkannya. Saya tidak meremehkan cabaran itu," katanya.

Menjelaskan keputusan untuk memaklumkan keputusan Wenger itu semalam, beliau berkata: "Kami mahu mengambil kesempatan ini untuk keluarga Arsenal berkumpul bagi menyatakan rasa kasih sayang dan terima kasih terhadap lelaki ini (Wenger). Saya rasa anda akan melihat beberapa suasana yang hebat.

"Arsene dan kelab memerlukan masa untuk bersedia. Ia akan menjadi musim panas yang sukar. Bagi kita semua, lebih awal perkara ini dijelaskan adalah lebih baik.

"Di tempat latihan, apa yang saya rasakan adalah keghairahan yang luar biasa, keinginan untuk memberikan Arsene hadiah perpisahan yang sepatutnya.

"Saya tidak fikir kelab sudah bersedia dengan keputusan itu. Sudah tiba masanya untuk kita memandang ke hadapan.

"Arsene memperoleh kedudukannya di kelab ini lebih daripada 22 tahun dan tidak akan ada pengurus lain lagi yang akan bertahan lama di kelab terbesar tetapi pengurus masih merupakan pekerja paling penting di mana-mana kelab pun. Saya tidak mahu menafikan peranannya tetapi adalah tidak realistik bagi pengurus baru untuk mengulangi pencapaian Arsene di Arsenal," hujahnya.

Gazidis turut menyokong Wenger untuk meneruskan kerjayanya dalam bola sepak dan mencadangkan mungkin ada peranan untuknya di Stadium Emirates pada masa depan.