Pep Guardiola menegaskan tiada jalan mudah untuk melakar kejayaan dan tempoh sukar perlu ditempuhi Manchester City jika mahu mencipta kegemilangan.

City kekal dalam cabaran untuk merangkul empat gelaran musim ini selepas meraih Piala EFL, mendahului satu mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), beraksi dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dan bakal menghadapi aksi separuh akhir Piala FA berdepan Brighton and Hove Albion di Wembley, hari ini.

Guardiola sebelum ini mendedahkan kekagumannya terhadap kejayaan Manchester United dalam musim 1998-99 ketika mereka meraih gelaran 'treble' kecuali Piala Liga.

Pengurus berbangsa Sepanyol itu sudah memiliki pengalaman berkenaan ketika membimbing Barcelona dan Bayern Munich sebelum tiba di Stadium Etihad untuk membantu City meraih lebih banyak gelaran.

"Saya sentiasa tertanya-tanya mengenai pasukan yang meraih kejayaan gemilang; sebab-sebab di sebaliknya dan apa yang telah mereka lakukan," katanya.

"Adalah jelas bukan mudah untuk menjuarai 'treble'. Ia berlaku di Jerman, saya tiba di sana pada tahun selepas Jupp Heynckes melakukannya bersama Bayern.

"Saya mahu mengetahui bagaimana mereka melakukannya. Dan setiap kali, apabila saya melihat isu-isu besar seperti ini, ia sentiasa sesuatu yang sukar.

"Akan ada detik-detik apabila anda memerlukan tuah dan memiliki personaliti dalam detik-detik besar seperti itu boleh membantu pasukan untuk mencapainya.

"Tetapi saya tidak boleh membandingkan kami dengan United. Mereka telah melakukan apa yang kami belum.

"Adalah penting untuk mengetahui caranya dan pemain-pemain tahu betapa sukarnya ia. Tidak mudah. Orang mengatakan 'treble' adalah mudah. Sudah tentu tidak. Ia sentiasa sukar."

City merupakan pilihan untuk mengatasi Brighton, pasukan yang diatasi 2-0 dalam saingan liga sebelum ini.

Tottenham akan menjadi lawan seterusnya dalam suku akhir UCL, Selasa ini.