ARSENAL 2 SPURS 2

Mauricio Pochettino percaya sukar buat Christian Eriksen untuk meninggalkan Tottenham sebelum jendela perpindahan yang bakal ditutup malam ini, namun pengendali Spurs itu menegaskan "tiada apa yang mustahil".


Eriksen telah dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Tottenham sepanjang musim panas ini dan Real Madrid serta Juventus dilaporkan sedang mengintai khidmat bintang kelahiran Denmark itu.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang turut dicadangkan bakal menyertai Manchester United sebelum jendela perpindahan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditutup, kini berada di penghujung kontraknya bersama Spurs.

Eriksen memainkan peranan penting dalam aksi 'derby' London Utara semalam, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 dengan Arsenal tetapi pengurus pasukan, Pochettino, masih tidak pasti mengenai masa depan pemain tersebut.

"Tidak pasti," jawab Pochettino ketika ditanya mengenai Eriksen akan kekal di England.

"Saya berasakan sukar untuk Eriksen berhijrah, namun tiada apa yang mustahil.

"Perkara paling penting adalah ia masih berbaki beberapa jam lagi dan saya berharap segalanya akan diperjelaskan kepada semua orang."
Eriksen membuka jaringan ketika berdepan Arsenal di Stadium Emirates sebelum sepakan penalti Harry Kane pada minit ke-40 membenarkan Spurs mendahului 2-0.

Arsenal, bagaimanapun, bangkit daripada ketinggalan apabila Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang meledak gol yang menyaksikan mereka berkongsi satu mata.

Ditanya jika Tottenham seharusnya memenangi perlawanan dengan keputusan 2-0, Pochettino berkata, "Ya, jaringan pertama Arsenal menghidupkan semula semangat mereka.

"Semestinya kami sangat kecewa selepas mempamerkan persembahan terbaik untuk meraih kemenangan. Tetapi pasukan lawan turut percaya dengan kemampuan mereka.

"Kami telah menghasilkan banyak peluang untuk meledak jaringan kemenangan. Menang atau tidak, bangkit daripada kekalahan kepada Newcastle sangat penting bagi kami," katanya lagi.