Ander Herrera melihat tiada alasan mengapa rakan sepasukannya di Manchester United, David De Gea, mahu meninggalkan kelab itu untuk ke Real Madrid, dengan pemain tengah berkenaan menyatakan bahawa mereka tidak jauh di belakang gergasi Sepanyol itu.

De Gea berkembang menjadi penjaga gawang terbaik dunia sejak menyertai United dari Atletico Madrid pada 2011 dan sering dikaitkan dengan kepulangan ke kota asalnya.

Madrid dilaporkan hampir menandatangani pemain antarabangsa Sepanyol itu pada 2015, namun akhirnya mereka terlepas dan beberapa hari kemudian De Gea melahirkan komitmennya terhadap kontrak yang berakhir pada 2019, dengan tambahan satu tahun sebagai pilihan.

Herrera menjangkakan Madrid mungkin akan tampil memburu De Gea pada tahun-tahun akan datang tetapi pemain berusia 28 tahun itu yakin bahawa United tetap akan mempertahankan pemain berkenaan.

"Saya menghormati semua penjaga gol seperti Manuel Neuer, Gianluigi Buffon dan MarcAndre ter Stegen," kata Herrera. "Tetapi De Gea sekarang adalah pemain nombor satu dunia.

"Dia mahu menjadi legenda di kelab ini, di mana ia penting bagi kami. Dia mempunyai kualiti. Di Sepanyol, kami panggil ia datang daripada tuhan. Dia menghadirkan perbezaan.

"De Gea sangat gembira pada masa ini kerana kami berjuang demi segala-galanya. Madrid akan membincangkan mengenainya pada setiap musim panas kerana dia adalah penjaga gol terbaik di dunia tetapi kami tidak fikir kami jauh berbanding Madrid."