EVERTON 4 MANCHESTER UNITED 0

Everton melengkapkan hari-hari malang Manchester United dengan mencatatkan kemenangan 4-0 di Goodison Park, sebentar tadi.


Ia juga merupakan kemenangan Liga Perdana Inggeris terbesar The Toffees ke atas The Red Devils.

Hanya berselang lima hari selepas disingkirkan Barcelona dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu terus memaparkan aksi suram untuk berdepan satu lagi kekalahan besar.

Gol yang disudahkan Richarlison dan Gylfi Sigurdsson memberikan kelebihan 2-0 buat tuan rumah dalam babak pertama sebelum usaha keras Lucas Digne dan penyudah tenang Theo Walcott melengkapkan kemenangan bersejarah itu.

United kini ketinggalan dua mata daripada kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana, namun jika Arsenal menewaskan Crystal Palace dalam perlawanan yang berlangsung kemudian, ia akan memberikan kesan besar terhadap impian United untuk menyertai kejohanan utama Eropah musim depan.

Richarlison memaparkan reaksi hebat untuk menewaskan penjaga gol United, David De Gea, menerusi penyudah akrobatik pada minit ke-13.

Marcus Rashford kemudian melakukan percubaan yang sedikit melewati palang gol Everton susulan hantaran jauh Paul Pogba, namun situasi United semakin tertekan pada minit ke-28.

Everton memanfaatkan kegagalan sepakan penjuru United untuk melakukan serangan balas pantas sebelum Sigurdsson meluru masuk dari sebelah kiri sebelum melakukan penyudah dari jarak 25 ela.

Keadaan semakin meruncing buat United selepas 10 minit perlawanan bersambung dengan Digne memaparkan teknik sensasi menerusi voli separa yang meninggalkan De Gea tanpa sebarang peluang untuk menyelamatkan keadaan.

Aib lebih besar menimpa United apabila Sigurdsson sekali lagi memecahkan pertahan skuad kendalian Solskjaer itu untuk melakukan hantaran terus yang kemudian disudahkan menerusi situasi satu lawan satu oleh pemain gantian, Theo Walcott.