Brahim Diaz melahirkan rasa terima kasih kepada Manchester City selepas menyempurnakan perpindahannya ke Real Madrid, disusuli kata-kata, "Kini saya bersama kelab terbaik dunia."

Real mengumumkan Diaz mengikat kontrak selama enam setengah tahun semalam dengan yuran perpindahan EURO17 juta (RM80 juta).

Pengendali City, Pep Guardiola, berkata kelab itu telah melakukan segala-galanya untuk memujuk pemain berusia 19 tahun itu agar menandatangani kontrak jangka panjang ketika spekulasi perpindahannya ke Real makin memuncak.

Tetapi penyerang itu mengambil keputusan untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu dan meluahkan kegembiraannya ketika diperkenalkan oleh kelab selepas menyempurnakan ujian kesihatan, semalam.

"Saya tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan, ia adalah sesuatu yang unik dan saat yang paling istimewa," kata Diaz.

"Saya sedia untuk beraksi tetapi jurulatih yang akan membuat keputusan.

"Semua pemain di sini sangat menakjubkan. Saya mahu melakar kejayaan dan memberikan yang terbaik untuk pasukan.

"Saya amat berterima kasih kepada City tetapi saya kini bersama kelab terbaik dunia.

"Saya memiliki tiga pilihan selepas mengambil keutusan untuk meninggalkan Manchester City. Satu, bermain untuk Real Madrid, dua, bermain untuk Real Madrid, dan tiga, bermain untuk Real Madrid. Ia merupakan sesuatu yang mustahil untuk berhijrah ke kelab lain."