AFC BOURNEMOUTH 1 TOTTENHAM HOTSPUR 4

Tottenham Hotspur membuktikan mereka mampu mencipta kemenangan walaupun tanpa Harry Kane apabila membenam cabaran Bournemouth 4-1 dalam aksi liga di Vitality, awal pagi tadi.

Beraksi di tempat lawan, Spurs dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah seawal minit ketujuh apabila pemain sayap, Junior Stanislas, mendada bola sebelum melepaskan rembatan menewaskan Hugo Lloris.

Tersentak dengan gol pembukaan tuan rumah, semangat Spurs hampir hilang apabila penyerang England, Kane, terpaksa digantikan oleh Erik Lamela selepas berlaga dengan Asmir Begovic pada mint ke-34.

Bagaimanapun, skuad kendalian Mauricio Pochettino itu hanya memerlukan seminit untuk mengikat kedudukan menerusi pemain tengah, Dele Alli, melalui sepakan voli hasil umpanan Serge Aurier.

Terikat 1-1 dalam babak pertama, Spurs melancarkan asakan bertubi-tubi ke kubu lawan sebaik sahaja separuh masa kedua dimulakan.

Son Heung-Min meletakkan pelawat di depan pada minit ke-62 untuk memberikan sedikit kelegaan buat Pochettino sambil dalam masa sama, merakamkan jaringan ke-17 peribadi dalam semua kejohanan musim ini.

Simon Francis berpeluang untuk menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-75 tetapi percubaannya sekadar melewati palang gol.

Tatkala aksi bakal tamat dengan kedudukan 2-1, Son sekali lagi meletakkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-87 sebelum Aurier melengkapkan persembahan gemilang Spurs di laman lawan dengan gol keempat pada minit terakhir perlawanan.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan, membolehkan Spurs kini naik ke tangga ketiga liga mengatasi Liverpool dengan 61 mata.