BRIGHTON & HOVE ALBION 1 MANCHESTER UNITED 0

Jaringan tunggal pemain tengah, Pascal Gross, membolehkan Brighton mencatat kemenangan 1-0 ke atas Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex, awal pagi tadi.


Dalam aksi terakhir di laman sendiri pada musim ini, skuad kendalian Chris Hughton itu hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata dalam tiga baki perlawanan untuk memastikan diri mereka kekal dalam saingan EPL untuk kempen 2018/19.

United pula bertandang ke tempat lawan tanpa kehadiran Alexis Sanchez dan penyerang utama, Romelu Lukaku, yang mengalami kecederaan sewaktu menundukkan Arsenal 2-1, minggu lalu.

United membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan apabila sepakan percuma Marcus Rashford disudahkan oleh Marouane Fellaini, namun pemain tengah Belgium itu dihukum dalam kedudukan ofsaid.

Tuan rumah cuba membalas serangan pada minit ke-13 menerusi pemain sayap, Jose Izquierdo, yang menerima umpanan Gross tetapi tandukannya tepat ke dakapan penjaga gol, David De Gea.

Penjaga gol Sepanyol itu sekali lagi menjadi halangan terbesar buat Brighton, kali ini dia menampan sepakan separuh voli penyerang, Glenn Murray, pada minit ke-19.

Walaupun United dilihat lebih banyak menguasai perlawanan, ternyata barisan depan yang dibarisi Rashford, Anthony Martial dan Juan Mata tampak buntu dalam merencanakan penyudah di depan gawang lawan dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung dalam babak kedua, skuad bimbingan Jose Mourinho itu cuba menggandakan asakan tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila Gross memecahkan kebuntuan menerusi gol pada minit ke-57.

Hantaran lintang Izquierdo dari sebelah kiri pantas ditanduk oleh pemain berusia 26 tahun itu dan walaupun Marcos Rojo cuba mengeluarkan bola, pengadil perlawanan, Craig Pawson, mengesahkan bola telah melintasi garisan gol untuk memberikan pendahuluan buat skuad The Seagulls.

Rashford berpeluang untuk menyamakan kedudukan buat The Red Devils menerusi percubaan dari jarak 25 ela tetapi Mathew Ryan jelas lebih bersedia untuk menafikan rembatan pemain skuad kebangsaan England itu.

Jesse Lingard turut terlepas peluang untuk mengikat kedudukan susulan gerakan berbalas hantaran di antaranya dean Rashford sekadar untuk menyaksikannya melepaskan sepakan meliar yang tersasar daripada gol tatkala Ryan sudah tertewas.

Kebuntuan untuk memburu jaringan penyamaan kekal sehingga wisel penamat, sekali gus memberikan kekalahan kelima buat United musim ini walaupun sudah mengesahkan slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan, sementara Brighton sudah mampu menarik nafas lega apabila kini berada di tangga ke-11 liga.