Swansea temui kelemahan Liverpool, kata Carvalhal 

Oleh Staff Writer 23 Januari 2018 4436
Swansea temui kelemahan Liverpool, kata Carvalhal 
Carlos Carvalhal mendedahkan Swansea City menggunakan taktik menjadikan Liverpool yang bertaraf "Formula Satu (F1)" tidak berada selesa untuk membolehkan mereka melakar kemenangan 1-0 di Stadium Liberty, awal pagi tadi. 

Liverpool bertandang ke selatan Wales berbekalkan kejayaan 4-3 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, namun mereka terus buntu ketika berhadapan dengan skuad kerdil itu. 

Carvalhal mengarahkan pemain Swansea agar menjadikan keadaan lebih sukar buat The Reds dengan mengubah rentak sebaik pelawat memberi tekanan tinggi.

"Saya membuat analogi (kepada pemain) mengenai perlawanan ini. Saya berkata Liverpool adalah pasukan yang sangat unggul dan mereka adalah pasukan yang kuat tetapi mereka adalah F1. 

"Jika anda mengadakan perlumbaan F1 di London dalam keadaan trafik pada jam 4 petang, ia tidak akan bergerak laju. 

"Itulah yang kami lakukan terhadap Liverpool, membuatkan mereka bermain dengan cara yang mereka tidak gemari," kata pengurus Portugis itu kepada Sky Sports.

"Mereka mempunyai prinsip bahawa apabila mereka kehilangan bola, mereka akan memberi tekanan hebat.

"Kami melakukan kesilapan ini ketika menentang Liverpool (sebelum Carvalhal mengambil alih), namun pada hari ini, pemain saya sudah bersedia dan kami kerap menggunakan hantaran satu atau dua sentuhan. Sepanjang permainanan, pemain saya saling memberikan bantuan. 

"Apabila Liverpool memberi tekanan, kami beralih dengan meletakkan mereka di bawah tekanan. Itulah sebabnya kami mencipta lebih banyak peluang dalam pemburuan gol.

"Kami mempunyai kesempatan untuk menjaringkan gol, bukannya tentang cara permainan kerana dalam keadaan ini, kami memerlukan kemenangan.

"Sejak awal lagi saya telah berpesan kepada pemain, perkara paling penting adalah memberi keyakinan kepada mereka. Begitupun, ia memerlukan mereka untuk berada dalam keadaan tersusun," tambahnya.

Gol tunggal Alfie Mawson hadir pada babak pertama selepas Carvalhal mengenal pasti situasi bola mati itu sebagai aset kepada Swansea untuk menghukum Liverpool.

"Kami cuba membongkar kelemahan mereka. Kami berpendapat mereka mempunyai kelebihan tetapi mereka juga mempunyai titik kelemahan dan situasi bola mati adalah salah satu daripadanya," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen