Ki Sung-yueng mengumumkan dia bakal meninggalkan Swansea City apabila kontraknya berakhir pada penghujung bulan depan.

Pemain kebangsaan Korea Selatan itu, yang menjadi pemain termahal Swansea ketika berhijrah dari Celtic dengan perpindahan bernilai GBP5.5 juta (RM29 juta) pada 2012, mengesahkan bakal meninggalkan kelab itu selepas mereka tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ki dikaitkan bakal menyertai gergasi Serie A, AC Milan, dan tersenarai dalam skuad kendalian Shin Tae-yong untuk saingan Piala Dunia di Russia.

"Ia merupakan satu penghargaan bermain untuk Swansea selama lima tahun," kata Ki.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong Swansea yang memberikan sokongan dalam setiap perlawanan.

"Sejak beberapa musim ini, persembahan kami kurang konsisten tetapi saya percaya Swansea akan bangkit dalam masa akan datang," tambahnya.