Tottenham Hotspur akan berdepan masalah untuk menyekat penghijrahan Harry Kane sekiranya kelab gergasi Eropah cuba mendapatkan khidmatnya dan perkara itu diakui bekas penyerang Spurs, Les Ferdinand.

Kane meneruskan persembahan cemerlangnya musim ini apabila menduduki tangga teratas carta penjaring terbanyak dengan 23 gol.

Aksi yang konsisten membuatkannya muncul selaku salah seorang penyerang idaman semua pasukan dan Ferdinand -- yang beraksi buat Spurs dari 1997 hingga 2003 -- berasakan Spurs tidak akan dapat menolak jika mereka menerima tawaran tinggi buat penyerang berusia 24 tahun itu.

"Apabila anda mempunyai bakat sebegitu, pasukan lain akan datang. Mampukah Spurs menolak tawaran mereka?" kata Ferdinand kepada Omnisport menjelang Anugerah Bolasepak London (LFA).

"Mereka akan berpindah ke stadium baru pada tahun depan, jadi sudah tentu mereka mahu mengekalkan khidmat Kane tetapi pasukan mana yang datang untuk mendapatkannya akan menentukan sama ada dia kekal atau tidak."

Kane muncul selaku penjaring terbanyak sepanjang dua musim lalu dan Ferdinand yakin penyerang England itu akan sekali lagi menggondol anugerah tersebut, sekali gus mengatasi cabaran pemain Liverpool, Mohamed Salah.

"Jika anda melihat kepada prestasi penyerang di England, tidak syak lagi bahawa Kane merupakan yang terbaik. Dia membebaskan dirinya daripada sebarang kecederaan dan itu faktor utama. Kane menjaringkan gol menggunakan kaki kiri, kaki kanan dan kepala, tidak kira dari dalam atau luar kotak penalti.

"Berdasarkan prestasi menyeluruh, Salah muncul yang terbaik bersama Liverpool dan dia bakal memberi cabaran kepada Kane," tambah Ferdinand.

Spurs kini menduduki tangga kelima liga, dibezakan satu mata dengan pasukan tangga keempat, Chelsea, namun Ferdinand yakin Mauricio Pochettino akan membimbing anak buahnya layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah untuk musim ketiga berturut-turut.

"Saya rasa mereka akan menempatkan diri dalam empat pasukan terbaik.

"Keputusan ketika menentang Arsenal menjadi perkara yang amat penting dan diharapkan prestasi terbaik itu dapat diteruskan sehingga tamat musim ini," ujarnya.