Sukar untuk sesuai dengan corak permainan City -- Rodri

Oleh Staff Writer 21 Ogos 2019 7508
Sukar untuk sesuai dengan corak permainan City -- Rodri
Rodri mendedahkan sukar untuk menyesuaikan diri bermain sebagai pemain tengah bertahan dalam skuad Manchester City yang mengetengahkan corak permainan menyerang.

Rodri, yang berhijrah daripada Atletico Madrid dengan yuran perpindahan EUR70 juta (RM324 juta), turun dalam kesebelasan utama menggantikan Fernandinho selepas pemain kebangsaan Brazil itu pulang lewat ke kelab daripada tugasan menghadapi saingan Copa America.

Rodri mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan Perisai Komuniti ketika berdepan Liverpool dan melakar kemenangan 5-0 ke atas West Ham dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ilkay Gundogan turun memberikan sokongan di bahagian tengah sementara perancang seperti Kevin De Bruyne dan Bernardo Silva turun berdepan Tottenham, namun terpaksa berkongsi satu mata apabila seri 2-2 dalam perlawanan yang menyaksikan The Citizens melakukan 30 percubaan ke arah pintu gol lawan.

"Saya berasa semakin baik setiap hari," kata Rodri dalam laman web rasmi City.

"Ia merupakan sesuatu yang positif buat saya kerana diberikan masa untuk menyesuaikan diri kerana bukan mudah untuk memahami rentak permainan City -- yang gemar melakukan serangan.

"Saya sedang cuba menyesuaikan diri dan mengetahui banyak perkara yang harus dipelajari lagi tetapi saya sangat gembira kerana Pep Guardiola yakin dengan kemampuan saya.

"Saya mahu cuba membantu pasukan dengan gaya saya tetapi buat masa ini, saya masih lagi cuba mengenal pasti keperluan pasukan ini." Jaringan kemenangan Gabriel Jesus pada penghujung permainan dibatalkan apabila VAR mengesahkan bola terkena tangan Aymeric Laporte.

Rodri turut terpalit dengan insiden penuh kontroversi apabila ulang tayang video tidak menasihatkan pengadil perlawanan, Michael Oliver, menghadiahkan sepakan penalti selepas pemain sayap Spurs, Erik Lamela, kelihatan menarik pemain kebangsaan Sepanyol itu hingga terjatuh dalam kotak penalti.

"Ia agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan teknologi ini," kata pemain berusia 23 tahun itu mengenai VAR.

"Kadang kala anda tidak pasti mengapa tidak semua perkara yang berlaku dinilai menggunakan VAR tetapi pegawai perlawanan telah berusaha melakukan tugas mereka dengan sebaik mungkin."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen