Sturridge digantung enam minggu, denda £75,000

Oleh Staff Writer 19 Julai 2019 14303
Sturridge digantung enam minggu, denda £75,000
Bekas penyerang Liverpool, Daniel Sturridge, digantung enam minggu -- empat daripadanya ditangguhkan -- dan denda £75,000 (RM386,763) kerana melanggar undang-undang pertaruhan Persatuan Bolasepak England (FA).

Pada November 2018, pemain kebangsaan England itu berdepan 11 pertuduhan dengan sembilan daripadanya melibatkan dakwaan pelanggaran peraturan "maklumat dalaman" FA.

Sturridge dituduh memberikan maklumat mengenai perpindahannya kepada keluarga dan rakannya pada Januari 2018 di mana maklumat itu boleh digunakan untuk tujuan pertaruhan.

Suruhanjaya Pengawalseliaan Bebas menggugurkan dakwaan itu, namun mendapati Sturridge bersalah dalam dua pertuduhan berasingan kerana mengarahkan abangnya untuk bertaruh terhadap kemungkinan perpindahannya daripada Liverpool kepada kelab Sepanyol, Sevilla.

Perpindahan ke LaLiga itu tidak pernah terjadi selepas dia menyertai West Brom, namun suruhanjaya itu mendapati Sturridge melanggar peraturan FA kerana menyampaikan maklumat untuk tujuan pertaruhan.

Penggantungan enam bulan di peringkat domestik itu bermula kelmarin dengan empat minggu daripadanya ditunda hingga penghujung Ogos 2020.

Ia bermakna, penyerang itu -- yang berstatus ejen bebas selepas dilepaskan Liverpool -- bebas meneruskan aktiviti bola sepaknya bermula bulan depan jika dia tidak melanggar peraturan-peraturan lain.

Dia turut didenda £75,000 (RM386,763) walaupun FA berasakan hukuman itu tidak setimpal dan akan mencabar kembali pengurangan pertuduhan dan denda itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA), Sturridge berkata: "Saya berterima kasih kepada panel untuk masa dan pertimbangan yang diberikan terhadap kes saya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, sahabat dan wakil undang-undang di atas sokongan yang mereka berikan sepanjang 15 bulan yang amat sukar ini.

"Saya gembira apabila sembilan daripada 11 pertuduhan itu telah ditolak dan ia menunjukkan panel itu mendapati saya seorang saksi yang jujur ​​dan boleh dipercayai, dan kesalahan saya pada satu hari yang amat sukar itu adalah tidak benar.

"Kes itu didengar selama tujuh hari oleh panel berbeza, yang menyebabkan keputusan itu dilakukan dalam tempoh yang panjang dengan pertimbangan yang berhati-hati, dan disusuli penyiasatan terperinci oleh FA.

"Oleh itu, ia amat mengecewakan apabila mendengar bahawa FA akan kembali mencabar keputusan itu.

"Saya akan terus mempertahankan kes saya dan pengurangan yang telah diberikan.

"Saya berlatih bersungguh-sungguh dan penuh fokus untuk menghadapi musim yang akan datang," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen