Paul Lambert yakin Stoke City berada dalam situasi terbaik untuk kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris selepas tersingkir ke Liga Kejuaraan pada hari yang penuh emosi di Stadium 365.

Tempoh 10 tahun Stoke dalam liga utama England berakhir selepas tewas 2-1 di tangan Crystal Palace, semalam.

Jaringan menerusi sepakan percuma Xherdan Shaqiri dalam babak pertama memberikan harapan tetapi gol daripada James McArthur dan Patrick van Aanholt dalam 22 minit terakhir memastikan Stoke tersingkir dalam musim yang menyaksikan Lambert menggantikan Mark Hughes selaku pengurus pada Januari lalu.

“Sukar untuk menggambarkan perasaan ini kerana ia tidak lama selepas perlawanan dan emosi anda tidak menentu tetapi saya tidak mampu meminta lagi,” kata Lambert kepada BBC Sport.

“Mereka memberikan kami segala-galanya dalam 15 perlawanan terakhir. Saya berharap untuk tidak berada di situ kerana mereka mungkin akan lebih stabil dalam kedudukan.

“Bagaimanapun, kisah dalam 15 aksi terakhir adalah sesuatu yang menceritakan tentang usaha dan komitmen. Kelab kini berada di posisi terbaik untuk dibina semula,” tambahnya.

“Kami kekurangan kualiti di atas padang. Jika pemain-pemain menampilkan aksi seperti apa yang dilakukan bersama saya sejak awal musim, mereka mungkin tidak berada di tahap ini,” katanya.

Sementara itu, Roy Hodgson memuji prestasi Crystal Palace yang mempamerkan aksi hebat tetapi tetap menyatakan simpati terhadap Stoke.

“Selepas 11 aksi dengan empat mata, saya tidak jangkakan yang bagus buat pasukan,” ujar Hodgson mengenai pasukannya ketika melalui permulaan suram bersama Frank de Boer.

“Untuk mendapatkan 40 mata adalah bagus dan saya berbangga dengan pasukan, bukan hanya untuk aksi bertemu Stoke tetapi sepanjang musim. Dalam masa sama, kami tetap bersimpati dengan Stoke.

“Lambert datang dan minum bersama kami tetapi ia sangat sukar kerana anda tidak tahu untuk bercakap mengenai sebarang perkara,” kata Hodgson.