Manchester City akan melakukan segala yang terdaya untuk membantu Raheem Sterling mencapai tahap seperti legenda bola sepak dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, kata Pep Guardiola.

Pemain kebangsaan England itu sedang berada dalam prestasi terbaik sepanjang pembukaan musim ini selepas melewati dua kempen produktif dengan menjaringkan 35 gol yang membantu City memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut.

Sterling turut menemui sasaran dalam perlawanan pusingan kelayakan Euro 2020 ketika menewaskan Bulgaria dan Kosovo, dan Guardiola menyenaraikan perbandingan di antara pemain itu dengan dua bintang besar, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, menjelang pertemuan liga dengan Norwich City awal pagi esok.

Bagaimanapun, pengendali berbangsa Sepanyol itu tidak melihat sebarang sebab mengapa bekas pemain Liverpool berusia 24 tahun itu tidak memiliki impian untuk menyamai standard dua bintang besar berkenaan.

"Buat masa ini, dia belum berada di tahap itu, saya berharap dia akan sampai ke tahap itu pada masa akan datang," katanya dalam sidang media.

"Saya mahu mengimpikannya untuk dia, untuk kami semua dan untuk dia, namun buat masa ini, kedua-dua pemain itu telah menjaringkan 50, 60 gol setiap musim sepanjang sedekad ini dan saya tidak pasti berapa banyak bantuan jaringan yang mereka hasilkan.

"Mereka telah memenangi Ballon d'Or dan anugerah individu bagi setiap musim kecuali mungkin musim lalu.

"Jadi, dengan ketekalan dua pemain itu, mereka adalah legenda yang sangat unik dalam dunia bola sepak.

"Dan jika Raheem dapat menyasarkan tahap itu, wow.

"Kami akan sentiasa membantunya dan sudah pasti dia mampu melakukannya.

"Saya bukan jenis yang akan katakan tidak tentang itu.

"Tidak, jelas tidak, saya mahu melihatnya.

"Namun, buat masa ini, tiada sesiapa, tiada dalam pasukan ini dan semua kelab di dunia boleh membandingkan apa yang mereka telah lakukan setiap minggu bagi 10 tahun ini.

"Mereka (Messi dan Ronaldo) jelas legenda dan tidak dapat dibandingkan dengan sesiapa, tiada sesiapa," katanya.

Pengurus England, Gareth Southgate, berkata selepas kemenangan ke atas Bulgaria bahawa perubahan paling ketara Sterling ialah keinginannya untuk menjaringkan gol.

"Saya fikir ketika bersama Brendan Rodgers di Liverpool, dia beraksi dengan amat baik, dan ketika bersama pasukan kebangsaan, dia bermain dengan amat baik juga," tambah Guardiola.

"Jadi, saya fikir dengan caranya, keinginannya, saya fikir apa yang saya lihat sejak permulaan adalah dia mempunyai mentaliti yang luar biasa, dia seorang pemenang.

"Sebelum ini, dia beraksi baik tetapi tidak banyak melakukan penyudah.

"Kini, dia sorang pemain yang boleh memenangi perlawanan bagi dirinya," katanya lagi.