Mauricio Pochettino mengakui Tottenham Hotspur masih belum selamat selagi jendela perpindahan di sekitar Eropah masih terbuka.

Spurs menandatangani beberapa pemain baru, iaitu Tanguy Ndombele, Giovani Lo Celso dan Ryan Sessegnon, dalam jendela perpindahan yang ditutup tepat jam 12 tengah malam, semalam.

Bagaimanapun, mereka berdepan risiko kehilangan pemain -- termasuk Christian Eriksen -- kepada kelab Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis, yang jendela perpindahannya masih terbuka.

Pochettino, yang pasukannya akan berdepan Aston Villa awal pagi esok, berkata penutupan awal jendela perpindahan di England mengakibatkan Spurs tidak selamat.

"Saya fikir ia menjadikan Tottenham tidak selamat," katanya kepada akhbar United Kingdom.

"Ia di antara kelab dan pemain, dan terdapat situasi peribadi yang akan berlaku hingga penghujung jendela perpindahan sekitar Eropah."

Eriksen dan pertahanan, Toby Alderweireld and Jan Vertonghen, telah memasuki tahun terakhir kontrak mereka dan mungkin akan dilepaskan secara percuma penghujung musim ini.

Kehilangan pemain mampu menjejaskan peluang Spurs untuk meraih kejuaraan musim 2019-20 selepas terdesak meraih trofi sejak 2014.

"Perasaan perbadi saya, dalam musim keenam saya di sini, saya fikir ia musim terbaik untuk kami menjulang trofi.

"Piala Carabao, Piala FA, Liga Perdana, Liga Juara-Juara, seperti yang anda tahu.

"Bukan untuk memberikan tekanan kepada pasukan atau kelab tetapi jika anda tanya saya mengenai kejayaan musim ini, ia bukan untuk menamatkan musim di kedudukan empat teratas.

"Bagi saya, ia untuk memenangi gelaran.

"Kerana, jika tidak, selepas musim lalu dan final Liga Juara-Juara, separuh akhir Piala Carabao, ia seperti "ayuhlah, kita sudah sentiasa di sana, namun tidak dapat kejayaan'," katanya.