Hugo Lloris menegaskan Tottenham sedia bersaing dalam semua kejohanan musim ini di sebalik kecederaan yang dialami penyerang, Harry Kane.

Tottenham berkemungkinan tanpa pemain kebangsaan England itu selepas mengalami kecederaan buku lali ketika berdepan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi semalam.

Kane terpaksa dibantu untuk meninggalkan padang ketika Spurs bimbang mengenai tahap kecergasannya.

Bagaimanapun, Lloris menegaskan Tottenham tidak bergantung kepada Kane ketika mereka masih mampu bersaing dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara (UCL) separuh akhir Piala EFL dan Piala FA.

"Kami menyedari kepentingan Kane dalam pasukan, tetapi dia bukan satu-satunya penyumbang dalam pasukan," kata Lloris. "Setiap pemain sudah bersedia untuk membantu mencapai sasaran yang telah ditetapkan."

"Kami mengetahui bahawa sampai satu tahap, kami perlu menghadapi masalah ini. Pada pendapat saya, kami akan cuba melakukan yang terbaik bagi menghadapi baki musim ini.

"Berdepan Fulham dalam aksi seterusnya, Spurs akan tanpa khidmat Kane dan Son Heung-min.

"Kami perlu berjuang untuk merangkul kejuaraan dan saingan EPL dalam kelompok empat pasukan terbaik."

Tottenham kini di tangga ketiga EPL, sembilan mata ketinggalan kepada pendahulu, Liverpool, menjelang aksi bertemu Fulham.