Pertahanan England, Kieran Trippier, percaya Tottenham akan menyesal kerana membenarkan dirinya berhijrah ke Atletico Madrid.

Bintang Piala Dunai itu menempuhi musim yang sukar bersama Spurs musim lalu walaupun berjaya melangkah ke final Liga Juara-Juara (UCL).

Pengurus pasukan, Mauricio Pochettino, tidak menghalang perpindahan Trippier ke Atletico, dengan pakar pertahanan kanan itu mampu diturunkan dalam aksi 'derby' London Utara, Ahad lalu.

Dihimpit masalah kecederaan, Tottenham menggunakan khidmat Davinson Sanchez sebagai pertahanan kanan ketika berdepan Arsenal dan sekadar seri 2-2 manakala Trippier membantu Rojiblancos mengatasi Eibar 3-2 dalam saingan LaLiga.

"Saya berasakan Tottenham mengetepikan saya pada waktu yang salah," kata Trippier. "Saya hanya memerlukan rehat selama empat minggu kerana bergelut dengan kecederaan.

"Ia merupakan sesuatu yang mengecewakkan. Saya mengerah keringat untuk kelab dan mahu kekal di sana. Kontrak saya bersama pasukan masih berbaki beberapa tahun lagi tetapi setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.

"Saya telah mendengar khabar angin mengenai kelab mahu menjual saya dan ia adalah sesuatu yang tidak ingin didengar."

Bekas pemain Burnley, Trippier, yang memulakan kariernya di akademi Manchester City, mengakui persembahannya musim lalu tidak berapa bagus dan goyah.

Namun, berkhidmat bersama pengendali Atletico, Diego Simeone, membantunya untuk mempertingkat lagi daripada segi taktikal dan teknikal.

"Bagi seorang pemain pertahanan, saya tidak berasakan terdapat pasukan yang lebih menarik berbanding di Atletico," ujarnya.