Penjaga gol Crystal Palace, Julian Speroni, akan meninggalkan Crystal Palace selepas 15 tahun berkhidmat di Selhurst Park.

Speroni bersama kelab itu sejak 2004 tetapi bakal menamatkan kerjasama bersama The Eagles pada penghujung kontraknya.

Pemain berusia 39 tahun itu, yang telah beraksi sebanyak 405 kali, meletakkan dirinya selaku pemain keempat paling banyak melakukan penampilan.

Speroni turut merekodkan 112 perlawanan tanpa bolos, termasuk aksi play-off 2013 yang membantu pasukan itu menyertai Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Speroni telah menghabiskan 15 tahun bersama kelab dan bakal tercatat dalam rekod pasukan tetapi yang paling penting adalah diingati sebagi legenda Palace," kata pengerusi kelab, Steve Parish.

"Sukar untuk mendapatkan pemain yang sama seperti Speroni, seorang pemain yang setia dan komited bersama pasukan.

"Sumbangannya kepada kelab adalah sesuatu yang sentiasa akan dikenang."

Speroni akan membuat penampilan terakhir ketika bertemu Bournemouth, Ahad ini.