Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menyedari mengapa Mauricio Pochettino dikaitkan dengan pasukannya sambil memuji pengurus Tottenham Hotspur itu.

Pochettino dikhabarkan menjadi pilihan utama mengisi kekosongan pengurus tetap United penghujung musim ini selepas Jose Mourinho dipecat bulan lalu.

Solskjaer pula dilantik selaku pengurus sementara menjelang tempoh itu.

Bagaimanapun, bekas penyerang United itu melalui tempoh memberangsangkan sejak mengambil alih pasukan itu dengan merekodkan lima kemenangan berturt-turut.

Dengan United akan berdepan Tottenham dalam aksi tumpuan Liga Perdana Inggeris di Wembley hujung minggu ini, Solskjaer menjelaskan dia sedar mengapa Pochettino merupakan pilihan utama ke Old Trafford.

"Dia telah melakukan tugasnya dengan baik.

"Spekulasi itu muncul pasti bersebab.

"Namun, bukan tugas saya untuk menilai pengurus lain.

"Saya hanya fokus kepada diri dan pasukan saya," katanya.

United tidak pernah tewas sejak dipimpin Solskjaer bulan lalu.

Mereka menewaskan Cardiff City, Huddersfield Town, Newcastle United dan Bournemouth untuk hanya ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga kelima, Arsenal.

United akan berdepan Tottenham ketika lawan itu sedang merebut kejuaraan di tangga ketiga dan berusaha mengekalkan penyerang utama England, Harry Kane.

Kane kini telah menjaringkan 14 gol dalam Liga Perdana musim ini -- terikat dengan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang bagi perebutan anugerah penjaring terbanyak -- dengan dia menjaringkan gol dalam kesemua enam perlawanan terakhir buat pasukan itu.

"Dia pemain yang hebat, bukan?

"Dia penjaring gol yang hebat dan antara yang terbaik di dunia.

"Namun, saya juga mempunyai beberapa pemain yang saya amat gembira untuk memiliki mereka.

"Dia sememangnya seorang profesional yang hebat.

"Saya yakin mereka yang pernah bermain dengannya atau pernah melatihnya pasti lebih tahu mengenainya.

"Sebagai orang luar, saya berasakan dia seorang penjaring gol yang hebat.

"Dia sentiasa menyudahkan peluang terhidang dan kami akan pastikan dia tidak akan mendapatkan peluang itu nanti," tambahnya.