SOUTHAMPTON 2 BOURNEMOUTH 1

Mark Hughes percaya Southampton membuktikan mereka memberikan segala-galanya untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengalahkan Bournemouth 2-1, malam tadi.


The Saints kini dipisahkan satu mata dengan pasukan di tangga ke-17, Swansea City, selepas Dusan Tadic meledak satu gol dalam setiap babak untuk membenam The Cherries yang menyamakan kedudukan melalui Josh King di Stadium St. Mary.

Ia adalah kemenangan liga pertama yang dirakam Southampton sejak Februari lalu dan yang pertama di laman sendiri sejak November, tetapi perlu menghadapi Swansea, Everton dan Manchester City dalam aksi seterusnya.

Sehubungan itu, Hughes berikrar bahawa pasukannya sedia berjuang mengelak penyingkiran.

"Kami sukar mempercayai bahawa kami akan keluar dari situasi ini melainkan jika kami benar-benar menginginkannya. Tiga mata adalah matlamat utama kami," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Apabila itu berlaku, ia tidak begitu menyeronokkan bagi semua orang di stadium tetapi sekarang semua orang boleh saksikan bahawa kami berhempas-pulas untuk kekal," katanya.

Gol penyamaan King hadir sebelum separuh masa pertama sehingga memaksa Southampton untuk kembali berjuang selepas rehat, apapun Hughes gembira dengan prestasi keseluruhannya.

"Saya fikir kami mempunyai nilai yang baik dalam separuh masa pertama untuk mendahului," katanya.

"Amat mengecewakan jika tewas pada penghujung permainan dan saya sedikit bimbang kerana pada ketika itu saya fikir kami agak selesa, anda khuatir sejauh mana ia boleh memberi kesan.

"Dalam babak kedua, kami turun dengan niat sebenar. Akhirnya, ia mengubah sedikit rentak permainan semua orang sambil kami melakukan tugas dengan tekad yang sebenar.

"Terdapat beberapa aksi menyelamat yang hebat oleh Alex (McCarthy) pada lewat permainan."