Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menegaskan tiada sebarang isu melibatkan Paul Pogba di sebalik desas-desus yang mengaitkan pemain kebangsaan Perancis itu dengan Real Madrid.

Pogba berkata ketika waktu rehat antarabangsa sebelum ini bahawa ia merupakan impiannya untuk beraksi dengan skuad Zinedine Zidane itu dan pengendali Real Madrid berkenaan tidak berahsia dalam meluahkan minatnya untuk mendapatkan bintang tengah United tersebut.

Khabar angin mengenai perpindahan ke Madrid -- yang cuba menandatangani Pogba sebelum pemain itu memilih untuk menyertai Juventus pada 2016 -- kembali bertebaran, namun Solskjaer tidak terganggu dengan situasi itu.

"Ia tidak membimbangkan saya kerana apa yang perlu saya lakukan adalah untuk duduk berbincang dengan Paul," katanya.

"Saya ada bersembang dengan Paul dan kami baik-baik sahaja.

"Dia akan melakukan yang terhebat di sini kersana dia tahu saya amat mengaguminya sebagai seorang pemain dan individu.

"Dia sedar dirinya amat penting buat kami.

"Tiada sebarang isu, dia amat penting di sini."

Pogba menghasilkan 11 gol dan sembilan bantuan jaringan daripada 28 penampilan liga musim ini buat United, yang kini berada di tangga kelima -- terikat mata yang sama dengan pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur -- sebelum bertandang ke Wolves, awal pagi esok.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang memanfaatkan kepulangan Solskjaer untuk menggantikan Jose Mourinho sejak Disember lalu, telah menjaringkan 14 gol dalam kesemua kejohanan.